Saturday 30 July 2016

Tuesday 28 June 2016

Perkara 43(3) Tanggungjawab Secara Bersama

1.0 PENGENALAN

House of Common di United Kingdom ada mengeluarkan satu kertas kajian pada tahun 2004 bagi menerangkan isu tanggungjawab bersama kabinet. Menurut kertas kajian ini, tanggungjawab bersama ini bukanlah suatu konsep yang dikawalatur oleh perundangan (statut), namun ianya merupakan perkara penting dalam sistem Berparlimen British menerusi konvensyen atau kaedah yang dipersetujui. Geogffrey Marshall (1989) telah mengenalpasti tiga prinsip dalam konvensyen ini iaitu: (1) prinsip keyakinan (the confidence principle), (2) prinsip kesepakatan (the unanimity principle), dan (3) prinsip kerahsiaan (the confidentiality principle). Berdasarkan prinsip ini, seorang menteri tidak boleh mengundi atau menyatakan secara umum keputusannya yang bertentangan dengan polisi kerajaan. Sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan adalah keputusan secara bersama oleh setiap menteri kabinet. Hal ini tidak bermaksud menteri perlu bersetuju dengan sebarang keputusan perdana menteri atau menteri kabinet lain, tetapi bermaksud sebarang persoalan atau tentangan dibuat di dalam mesyuarat kabinet. Apabila keputusan dicapai, ia merupakan keputusan bersama. Oleh sebab itu, adalah penting untuk menjaga rahsia kabinet tidak kira sama ada seseorang itu sedang menjadi seorang menteri ataupun telahpun melepaskan jawatan jawatan menteri tersebut.


2.0 KES KAJIAN: MALAYSIA

Di Malaysia, konsep tanggungjawab ini telah dinyatakan dalam Perkara 43(3) yang menyatakan, “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”. Biasanya, jika seorang menteri tidak mahu bertanggungjawab secara bersama, ia wajar melepaskan jawatannya. Seorang perdana menteri pula sepatutnya melantik menteri yang diyakini mempunyai visi dan misi yang sama dengannya. Oleh sebab itu, tidak timbul isu menteri memberi kenyataan yang bercanggah dengan menteri yang lain. Kedua-dua pernyataan ini dapat digunakan bagi menunjukkan sejauh mana keberkesanan atau praktik tanggungjawab bersama di suatu negara.

Pada tahun 2008, Zaid Ibrahim telah melepaskan jawatannya sebagai menteri dalam Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal perundangan dan pembaharuan kehakiman berikutan tidak bersetuju dengan polisi kerajaan dalam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (BBC News 2008). Fenomena menteri letak jawatan di Malaysia disebabkan tidak bersetuju dengan polisi kerajaan merupakan suatu yang jarang-jarang berlaku. Biasanya, menteri meletak jawatan kabinet disebabkan perkembangan politik seperti Musa Hitam pada tahun 1986 dan Ghafar Baba pada tahun 1993 (Harian Metro 2015; The Star 2016). Pertukaran menteri atau portfolio kementerian disebabkan kabinet baharu oleh perdana menteri adalah lebih menjadi kelaziman. Kedua-dua perkara ini walau bagaimanapun menjurus kepada konsep tanggungjawab bersama iaitu kerajaan mestilah mempunyai satu suara baik dari segi visi dan misi apatah lagi polisi.

Selain daripada itu, konsep tanggungjawab bersama kadang-kala diperluas dan tidak hanya meliputi menteri kabinet. Pada tahun 2005, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, S. Sothinathan telah digantung oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) selepas pertikaian terhadap polisi kerajaan dengan Timbalan MenterI Kesihatan, Dr. Abdul Latiff Ahmad di Dewan Rakyat (Bernama 2005). Selain itu, dua orang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut diberikan surat amaran kerana menyokong usul pembangkang (News Strait Times 2006). Dalam pada itu pada tahun 2006, Shahrir Samad melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berhubung pendiriannya terhadap usul yang dibawa pembangkang (Bernama 2016). Meskipun kes berkaitan dengan timbalan menteri dan ahli parlimen tidak secara spesifik merujuk kepada kabinet menteri, namun tindakan yang diambil ke atas mereka jelas menunjukkan kerajaan memerlukan sokongan padu bukan sahaja daripada jemaah menteri tetapi juga daripada Dewan Rakyat.

Hal ini menurut Ahmad Faiz Yaakob (2009) merupakan suatu kelemahan konsep tanggungjawab bersama kerana memaksa semua ahli parlimen untuk menyokong atau mengambil pendirian yang selari dengan parti. Walaupun ia mengukuhkan parti, namun ia juga turut menyekat autonomi yang sepatutnya diberikan kepada ahli Dewan dalam menyuarakan dan mengetengahkan suatu isu. Maka tidak hairanlah di peringkat jemaah menteri pula, isu perbezaan pendapat atau pengunduran menteri kerana tidak berpuas hati dengan keputusan kabinet tidak berlaku sekerap negara-negara lain.

Menjawab persoalan tentang sejauh mana praktik konsep tanggungjawab bersama di Malaysia, penulis beranggapan ianya perlu dibincangkan melalui konteks inti pati konsep itu sendiri. Dari segi inti pati konsep, tanggungjawab bersama dilihat mencapai matlamat pada skala yang berbeza-beza. Pertama, jemaah menteri “dipaksa” untuk mengikut keputusan kabinet. Sejak merdeka, mungkin kes Zaid Ibrahim sahaja yang boleh dilihat jelas menunjukkan seorang menteri mengundurkan diri disebabkan tidak bersetuju dengan polisi kerajaan. Hal ini seolah-olah  kesemua jemaah menteri yang dilantik bersetuju dengan polisi kerajaan. Jika seorang menteri tidak bersetuju, ia dipaksa untuk menerima kerana konsep tanggungjawab bersama itu.

Penulis beranggapan pengunduran seseorang menteri turut menunjukkan keberkesanan konsep tanggungjawab bersama. Sharon Sutherland (1991) telah mengkaji sebanyak 151 kes perletakkan jawatan sebagai menteri di Canada antara tahun 1867-1990 mendapati 28 kes adalah disebabkan isu perpaduan (solidarity) dengan rakan kabinet. Sebagai contoh, Lucien Bouchard telah meletak jawatan dalam kabinet Perdana Menteri Brian Mulroney disebabkan tidak bersetuju dengan kaedah yang digunakan kerajaan dalam menangani isu perubahan perlembagaan. Hal ini menunjukkan bagaimana konsep tanggungjawab bersama lebih kelihatan di Canada berbanding Malaysia di mana menteri yang tidak bersetuju dengan kerajaan perlu mengundurkan diri.

Kedua, pemecatan Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri boleh dilihat sebagai keengganannya untuk menerima keputusan atau keadah kerajaan menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Hal yang sama juga berlaku kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Shafie Apdal yang digugurkan dari kabinet pada 2015. Dalam kedua-dua kes ini, Perdana Menteri Mohammad Najib Abdul Razak telah menggunakan haknya bagi membentuk perpaduan dalam kerajaan agar menyokongnya. Hal ini dapat mengelakkan Muhyiddin atau Mohd Shafie daripada mengkritik kerajaan secara terbuka. Jika pengguguran ini tidak berlaku, Muhyiddin dan Mohd Shafie sewajarnya meletakkan jawatan jika tidak bersedia untuk mengikut polisi kerajaan yang dipersetujui dalam bilik mesyuarat kabinet. Dalam kes ini, jelas menunjukkan konsep tanggungjawab bersama ini dipraktikkan.

Ketiga, ketika suatu isu salah laku menteri dibangkitkan, tiba-tiba konsep tanggungjawab bersama menjadi pudar. Sebagai contoh Mahathir Mohamad (1981-2003) dan Anwar Ibrahim sering menyalahkan satu sama lain berkaitan Krisis Ekonomi 1998 sedangkan keduanya berada dalam kabinet yang sama dan sepatutnya bertanggungjawab secara bersama. Hal ini mungkin merujuk kepada konsep tanggungjawab menteri yang berbeza dengan konsep tanggungjawab bersama. Berbanding dengan tanggungjawab bersama, perihal tanggungjawab menteri tidak dinyatakan secara spesifik dalam Perlembagaan. Sekitar 1960-an, Abdul Rahman Talib yang memegang jawatan Menteri Pendidikan meletakkan jawatan selepas gagal dalam samannya terhadap ketua Parti Progresif Penduduk (PPP) Dr. Seenivasagam. Pada tahun 2008 pula, Chua Soi Lek melepaskan jawatan sebagai Menteri Kesihatan akibat skandal video seks (Ahmad Masum 2004). Pada tahun 2006, timbul pula skandal Approved Permit (AP) membabitkan Menteri Perdagangan dan Industri Rafidah Aziz (Singh dan Salazar 2006). Adalah sukar untuk dipastikan kesahihan skandal ini kerana tidak ada siasatan yang dibuat oleh pihak PRDM mahupun SPRM. Jika amalan salah laku ini benar-benar berlaku dan bermula ketika Rafidah memegang jawatan tersebut pada tahun 1987, maka pentadbiran atau kabinet Mahathir (1981-2003) dan Abdullah (2003-2009) perlu bertanggungjawab secara bersama. Ling Liong Sik pula terbabit dalam skandal Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKNZ) iaitu skandal rasuah ketika dia menjadi Menteri Pengangkutan. Ling didakwa telah menipu kerajaan tentang pembelian dan penjualan tanah di PKNZ. Mahkamah pada tahun 2013 telah membebaskan Ling daripada tuduhan terbabit. Dalam isu ini, adakah kesalahan yang dilakukan Ling merupakan satu tanggungjawab individu semata-mata? Adakah kegagalan kerajaan untuk menyekat amalan salah laku menteri dianggap sebagai satu kesalahan yang perlu ditanggung secara bersama?

Prinsip ketiga dalam konsep tanggungjawab bersama adalah kerahsiaan. Pembongkaran skandal-skandal ini telah menjejaskan prinsip kerahsiaan. Contohnya, individu yang menuduh Rafidah mahupun Ling sudah pasti akan merujuk kepada mesyuarat kabinet sama ada bagi mempertahankan tuduhan mereka ataupun mempertahankan diri. Hal ini menyebabkan butiran mesyuarat yang sepatutnya sulit tersebar kepada masyarakat umum. Mahathir umpamanya banyak menulis mengenai isu-isu politik dalam memoirnya. Adakah penulisan ini telah menjejaskan prinsip kerahsiaan terbabit? Hal ini telah dinyatakan oleh Ahmad Masum (2004) sebagai suatu yang akan menimbulkan masalah berhubung kerahsiaan kabinet. Jika isu kerahsiaan ini tidak dapat diurus, maka konsep tanggungjawap bersama juga akan mendapat kesan. Segala butiran atau tindakan kerajaan akan dipertikai dan menjadi bualan masyarakat awam. Maka sudah tentu akan wujud tuduhan atau ketidakpuashatian terhadap jemaah menteri.

Disamping itu, terdapat juga risiko bekas-bekas menteri yang kini di pihak pembangkang menggunakan modal-modal yang diambil daripada mesyuarat kabinet terbabit. Sepatutnya, bekas-bekas menteri terbabit tidak boleh menggunakan dokumen atau sebarang instrumen yang digunakan ketika dia di dalam kabinet apatah lagi mendedahkannya kepada umum. Malangnya, modal-modal ini sering digunakan ketika menyerang kerajaan dalam skala yang berbeza-beza. Contohnya Anwar Ibrahim sering membandingkan pentadbiran dan kerjanya ketika menjadi menteri dengan pentadbiran dan kerja yang dilakukan pihak kerajaan sekarang.


3.0 KESIMPULAN

Pada tahap asas konsep tanggungjawab bersama, kabinet Malaysia dilihat mengamalkan konvensyen ini. Malah, ia turut diperluas kepada ahli parlimen. Di dalam sistem Westminster dimana badan eksekutif dan perundangan mempunyai hubungan yang sangat erat, maka adalah tidak menghairankan perluasan tanggungjawab ini kepada ahli parlimen. Oleh sebab itu juga, sistem demokrasi berparlimen Malaysia dilihat tidak berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat antara ahli parlimen. Hal ini kerana semua ahli parlimen dilihat begitu terikat dengan parti yang diwakili. Impak positif daripada amalan ini adalah polisi dan tindakan kerajaan sentiasa mendapat sokongan dalam Dewan. Suatu ketetapan yang mahu diambil kerajaan akan dapat diluluskan segera. Bertentangan dengan itu, kredibiiti jemaah menteri dan wakil rakyat akan dipersoalkan kerana dilihat sebagai “pak turut” pimpinan di atas.

Amalan tanggungjawab bersama di Malaysia boleh dilihat menerusi pandangan menteri yang selari dengan keputusan kabinet. Menteri dilihat menyokong atau memberi pandangan yang positif terhadap sebarang keputusan kabinet. Apabila berlaku perbezaan pendapat yang serius, perdana menteri bertindak merombak kabinet supaya kabinet baharu dapat bertindak senada. Berbanding dengan negara lain, tindakan menteri yang meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan adalah merupakan kes terpinggir. Menteri yang didakwa terlibat dengan salah laku pula menanggung kesan atau tanggungjawab peribadi. Tidak berlaku di Malaysia seluruh kabinet meletak jawatan disebabkan kesilapan atau salah laku yang dibuat oleh seseorang menteri. Apabila kerajaan mendapat tentangan yang ketara, perdana menteri sama ada merombak kabinet ataupun mengadakan pilihan raya yang baharu. Berdasarkan penelitian ini, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan sememangnya wujud dan dipraktikkan di Malaysia.

#SayangKyra

   


   

Sunday 12 June 2016

12TH LEADER OF CS: EFFENDY


On June 6th, Effendy was elected as 12th Leader after dedicating his for CS for more than a year. A TH10 player with interesting attack strategy specializing in Giant-based attack. CS will prosper under his leadership.

CLAN HAS REACHED LEVEL 10!


On June 1st, 2016 around 19:04PM, Cikgu Suraya has reached level 10! Congratulation all.