Saturday, 20 February 2016
Thursday, 18 February 2016
Adakah pilihan raya di Malaysia adil dan bebas?
Adakah pilihan raya di Malaysia adil dan bebas?
Bagi menjawab persoalan ini, pengertian pilihan raya yang
adil dan bebas perlu diberi perhatian dan menilai sama ada ia sepadan dengan
pilihan raya di Malaysia atau sebaliknya. Secara umum, adil bererti pemberian
hak yang sewajarnya manakala bebas bererti tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur
luaran yang boleh menyebabkan bias. Oleh itu, pilihan raya yang adil dan bebas
merujuk kepada peluang dan hak yang diberikan secara saksama yang mana parti
atau calon yang bertanding mempunyai peluang yang sama untuk memenangi pilihan
raya tersebut. Ia juga mencakupi elemen kebebasan yang mana membolehkan parti atau
calon bertanding dapat menggunakan peluang dan hak yang disediakan ini tanpa
dipengaruhi unsur-unsur lain yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk
menang.
Merujuk kepada kes Malaysia, saya berpendapat pilihan raya
adalah tidak adil dan tidak bebas. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai
keadilan dan kebebasan pilihan raya di Malaysia adalah sedikit rumit disebabkan
amalan demokrasi yang masih boleh dilihat. Sebagai contoh, semua pihak
diberikan peluang untuk memperoleh dana bagi membiayai kempen mereka. Oleh itu,
keberkesanan kempen tersebut bergantung kepada jumlah dana yang dimiliki. Dalam
hal ini, semua parti atau calon tidak disekat dalam usaha mengumpul dana
tersebut. Walau bagaimanapun, jumlah dana yang dimiliki Barisan Nasional
dilihat jauh berbeza dengan parti-parti politik lain. Sudah tidak menjadi
rahsia bahawa BN mempunyai ahli-ahli atau penyokong yang membantu kempen-kempen
pilihan ramai dengan memberi dana jutaan ringgit. Ahli-ahli atau penyokong ini
pula dapat menyumbang dana kerana diberikan projek-projek kerajaan. Terbaru,
skandal RM2.6 bilion membuktikan BN memperoleh bantuan yang sangat besar
daripada pihak luar. Sebagai perbandingan, DAP mengumpul dana daripada
majlis-majlis atau ceramah-ceramah yang diadakan bertujuan untuk mengutip derma
atau “dana.” Mereka terpaksa melakukan perkara seperti ini sepanjang tahun bagi
mengumpul dana bukan sahaja untuk mengurus parti, membantu peruntukan kepada
kawasan-kawasan yang telah dimenangi dalam pilihan raya lepas, dan mendanai
kempen pilihan raya mendatang. Jumlah RM2.6 bilion tersebut tidak mungkin dapat
ditandingi oleh parti-parti politik lain menjadikan pertarungan tidak seimbang
dan berpusat kepada siapa yang mempunyai dana yang lebih dan bukannya manifesto
pilihan raya.
Dalam aspek kempen mempromosi idea dan janji pilihan raya,
ketidakadilan berlaku apabila BN dapat menggunakan media arus perdana seperti
stesyen televisyen dan surat khabar. TV1 dan TV2 merupakan stesyen utama yang
dapat digunakan oleh BN memandangkan kedua-duanya merupakan milik penuh
kerajaan. Selain itu, stesyen televisyen berbayar yang dimiliki Media Prima
juga dilihat condong memihak BN disebabkan kumpulan Media Prima dimiliki oleh
UMNO. Stesyen satelit seperti ASTRO pula tidak juga boleh dikatakan memberi
layanan yang adil kepada semua parti atau calon bertanding disebabkan ASTRO
masih berada di bawah pengawasan agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM). Oleh itu, ASTRO mengambil tindakan yang
berhati-hati dalam menyiarkan bahan-bahan yang kritikal terhadap kerajaan ataupun
bahan-bahan yang positif tentang
pembangkang. Selain stesyen televisyen, surat khabar turut dikuasai kerajaan
atau BN. Kumpulan Media Prima turut memiliki New Straits Times Press yang
menerbitkan beberapa surat khabar popular seperti New Straits Times, Berita
Harian dan Harian Metro. Terdapat juga insiden yang mana BN menggunakan
peralatan kerajaan seperti kenderaan RTM dalam kempen pilihan raya. Hal ini
menunjukkan BN mempunyai kelebihan dengan memiliki elemen kawal atur
(undang-undang), aset, dan media arus
perdana yang membolehkan menjalankan kempen dengan lebih baik berbanding parti-parti
atau calon-calon lain.
Perbincangan mengenai dana dan media di atas memfokuskan
pada parti-parti yang bertanding. Keadilan dan kebebasan pilihan raya juga boleh
dilihat berpandukan proses pilihan raya itu sendiri. Hal ini menjurus kepada
peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan abnormaliti atau keralatan yang
berlaku dalam pilihan raya. Salah satu kuasa atau bidang SPR adalah
pensepadanan semula kawasan pilihan raya. Hal ini begitu penting dalam
membincangkan keadilan pilihan raya disebabkan BN telah memenangi 140 kerusi
parlimen atau 63% daripada 222 kerusi Dewan Rakyat tetapi memperoleh kurang 50%
undi popular. Pakatan Rakyat pula memperoleh lebih 50% undi popular namun bukan
sahaja gagal untuk membentuk kerajaan tetapi juga hanya mendapat 82 kerusi atau
37%. Hal ini menunjukkan agihan kerusi dan kawasan pilihan raya yang
bermasalah. Dalam kebanyakan kes, parti yang memenangi begitu banyak kerusi
juga memperoleh undi popular yang banyak seterusnya dapat membentuk kerajaan.
Meskipun sukar untuk mendakwa SPR berlaku tidak adil dalam hal ini disebabkan
faktor demografik dan geografi Malaysia yang tidak sekata, masih banyak ruang
yang boleh diperbaiki agar pilihan raya di Malaysia adil untuk semua dan
merupakan refleksi kehendak pengundi. Sebagai contoh, kemenangan parti-parti
pembangkang di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Shah Alam,
Kuching, dan Kuantan yang memiliki populasi yang besar dan kawasan industri dan
perniagaan yang utama, dilihat tidak secocok dengan keputusan keseluruhannya.
Pengundi-pengundi di kawasan ini tidak dapat memilih kerajaan yang menguasai
kerajaan pusat. Oleh itu, kerajaan yang ada dilihat sebagai kerajaan yang
diundi oleh kawasan-kawasan lebih mundur atau pedalaman. Adalah lebih baik jika
pensepadan kawasan pilihan raya dapat memberi peluang seimbang kepada kawasan
bandar dan luar bandar supaya kerajaan yang dipilih adalah refleksi seluruh
rakyat.
Abnormaliti atau ralat pilihan raya sering sahaja menjadi
isu yang dibangkitkan tiap kali pilihan raya. Hal ini boleh merujuk kepada
pengundi hantu atau sebarang kes yang dilihat cuba menyekat atau melemahkan
suatu pihak. Hal-hal ini telah dibangkitkan oleh gabungan organisasi bukan
kerajaan (NGO) seperti BERSIH yang menuntut usaha pembaikan terhadap proses
pilihan raya. Isu pengundi hantu merupakan antara isu yang popular memandangkan SPR, BN dan kerajaan didakwa bersubahat bagi
menambahkan undi kepada mereka. Skandar “IC Sabah” merupakan contoh terbaik
dalam mengupas isu ini apabila kerajaan didakwa telah memberikan kad pengenalan
kepada pendatang tanpa izin yang secara automatik menjadikan mereka sebagai
pengundi. Selain itu, banyak juga dakwaan atau laporan mengenai daftar pengundi
yang “duplicate”, bertindih atau diletakkan di kawasan pengudian yang tidak
sesuai. Dalam kes Anwar Ibrahim pula, dia dijatuhkan hukuman penjara sejurus
sebelum pilihan raya kecil DUN Kajang yang mana Anwar dijangka akan bertanding.
Dalam kes majlis eksekutif pusat (CEC) DAP, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia (JPPM atau ROS) hanya memberi reaksi isu pegantungan DAP dua hari
sebelum hari pencalonan. Kesemua masalah ini sudah pasti memberi kesan kepada
parti-parti ini dalam persiapan mereka untuk menghadapi pilihan raya selain
menjejaskan keyakinan bukan sahaja parti bertanding tetapi juga pengundi
terhadap integriti SPR dan agensi-agensi kerajaan lain.
Seterusnya, penguasaan kerajaan BN terhadap elemen kawal
atur iaitu undang-undang turut menjejaskan keadilan dan kebebasan pilihan raya .
Selain isu berkaitan SPR dan ROS di atas, isu rasuah turut menjadi kebiasaan.
Rasuah dalam pilihan raya merujuk kepada imbuhan atau janji yang meningkatkan
peluang BN disebabkan mereka mempunyai dana yang besar dan merupakan kerajaan
semasa. Sebagai contoh, BN memberi janji pembangunan kepada kawasan yang
memilih mereka. Hal ini menyebabkan pembangunan berdasarkan sokongan dalam
pilihan raya dan bukannya keperluan kawasan dan rakyat. Sebagai rakyat pula,
janji pembangunan ini merupakan suatu yang serius disebabkan janji-janji
tersebut mampu dan akan dilakukan kerajaan. Bagi kawasan yang tidak memilih
kerajaan BN, kawasan ini akan dipinggirkan seperti kurangkan pembangunan dan
tiada peruntukan khusus yang diberikan kepada kawasan tersebut. Sebagai contoh,
setiap kawasan parlimen dan DUN yang dimenangi BN akan diberikan peruntukan
khusus sama ada daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri ataupun parti itu
sendiri. Hal yang sama juga berlaku apabila Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di
Selangor apabila kerajaan negeri bertindak memberi layanan atau peruntukan yang
tidak sekata kepada kawasan-kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat dan BN
(pembangkang). Hal ini bagi membuktikan imbuhan, peruntukan atau janji
memainkan peranan yang besar dalam pemilihan wakil-wakil rakyat. Disebabkan BN
mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi pilihan raya, “rasuah’
tersebut adalah lebih dipercayai dan wajar dipertimbangkan pengundi. Selain
itu, rasuah juga merujuk kepada pemberian wang ringgit atau bantuan secara
terus kepada rakyat bagi meraih undi. Hal ini sepatutnya tidak berlaku dalam
proses pilihan raya yang adil dan bebas. Dalam sistem demokrasi, sebuah pilihan
raya yang adil dan bebas wajar mengambil berat isu-isu ini bagi memberi peluang
yang adil kepada semua pihak yang bertanding disamping terhindar daripada
sebarang salah laku atau usnur-unsur jenayah.
Sebagai kesimpulan, demokrasi di Malaysia bersifat separa
yang mana wujudnya masalah dalam pilihan raya sehingga mencetuskan dilema keyakinan
terhadap institusi tersebut. Akibat dilemma ini, pengundi merasakan undi mereka
tidak membawa kesan yang sepatutnya yang seterusnya menambahkan perasaan
ketidakpuashatian dan ketidakyakinan terhadap proses ini. Akhirnya, institusi
demokrasi akan musnah apabila keyakinan rakyat hilang. Dalam hal pilihan raya
di Malaysia, saya berhujah ianya masih tidak adil dan bebas disebabkan
kelebihan-kelebihan yang diperoleh BN sebagai kerajaan dan kesukaran-kesukaran
parti-parti lain sebagai pembangkang. Pilihan raya sepatutnya memberi peluang kepada
sesiapa sahaja yang diyakini rakyat untuk memerintah. Kerajaan tidak boleh
menggunakan kapasiti mereka sebagai pihak berkuasa untuk mendapat kelebihan
dalam proses pemilihan ini.
Sunday, 14 February 2016
Hak
Matlamat DAP untuk menubuhkan satu masyarakat yang
demokratik sosialis di Malaysia. Apakah itu demokratik dan sosialis?
DAP pejuangkan "Malaysian Malaysia" iaitu negara
Malaysia untuk semua. Tiada keistimewaan untuk sesiapa. Bererti orang Melayu
perlu dilayan sepertimana kaum-kaum lain seadilnya. Kalau Melayu dilayan
seperti kaum lain, adakah keadilan tercapai kerana Melayu masyarakat pribumi
Malaysia. Kaum lain pula datang dan terus tinggal tanpa mendapat restu tuan
tanah. Mereka dipelawa datang dan diberi kerakyatan kerana British. Dalam masa
British menjajah Tanah Melayu, siapakah tuan tanah itu? Melayu atau British.
Yang pasti Melayu adalah pribumi, status tuan tanah pula mungkin boleh
dipertikaikan lagi. Ambil contoh kes di Palestine yang mana ramai penduduk
asalnya telah melarikan diri sejak kemerdekaan Israel pada tahun 1948. Mereka
lari kerana terpaksa demi menyelamatkan diri tanpa menyerahkan hak mereka iaitu
tanah kepunyaan mereka kepada sesiapa. Israel pula telah menduduki tanah-tanah
itu dan menukar hak kepunyaan kepada mereka. Siapakah tuan tanah kepada
tanah-tanah itu? Ada yang berpendapat "hak" tidak boleh
sewenang-wenangnya diserah terima lebih-lebih lagi secara paksaan atau tanpa
persetujuan tuan asal. Dalam hal ini, pelarian Palestine ini punya hak untuk
kembali mengambil hak mereka. Ia lebih popular dipanggil "Palestinian
right of return".
Namun, sejauh mana atau selama mana hak ini kekal? Ada
beberapa teori yang dikeluarkan sarjana tentang asal usul Melayu di Malaysia.
Antara yang terkenal adalah teori Yunnan yang menyatakan bangsa Melayu berasal
dari Yunnan. Adakah ini bererti Melayu bukanlah penduduk asal Tanah Melayu?
Jika terdapat penduduk di Tanah Melayu sebelum kedatangan mereka, sudah tentu bukan
penduduk asal. Jika Tanah Melayu tidak dihuni mana-mana masyarakat, maka
pastinya mereka penduduk asal. Semantiknya, kita mempersoalkan penduduk asal
bukannya tuan tanah tersebut. Kerana penduduk asal tidak semestinya tuan tanah.
Adakah ini soal siapa cepat dia dapat atau siapa chup dulu dia dapat? Teori
kedua pula menyatakan masyarakat Melayu berasal dan berkembang di Nusantara
termasuklah Tanah Melayu. Dalam hal ini, Melayu mempunyai status penduduk asal
dan tuan tanah.
Memanjangkan soal penduduk asal dan pemilik tanah ini, perlu
kita lihat perkembangan luar lain. Contohnya orang eropah telah mendarat di
Amerika Utara dan bertapak di sana. Ketika itu, benua ini dihuni oleh puak Red
Indian. Akhirnya, benua ini kini menjadi hak orang-orang pendatang ini. Sama
juga yang berlaku di Australia, walaupun orang aslinya yang dipanggil
Aborigines diiktiraf sebagai penduduk asal, namun hak tanah itu telah bertukar
ke tangan kaum pendatang. Di Eropah pula, berlaku banyak kali pertukaran hak
milik wilayah akibat perang. Penukaran hak milik wilayah ini berlaku sepanjang
zaman pekembangan tamadun manusia dimana kumpulan yang kuat akan mendominasi
kumpulan yang lemah serta dapat menguasai kawasan yang luas.
Berbanding dengan konsep "hak" yang dibincangkan
tadi, konsep kekuasaan lebih mudah untuk difahami dan dilihat diterima secara
sejagat. Malah ianya lebih praktikal
kerana dapat ditentukan secara fizikal contohnya melalui kekuatan ketenteraan,
sesebuah kumpulan dapat meraih lebih harta daripada kumpulan yang lemah. Ini
menyebabkan semua orang berkejar-kejar menjadi lebih kuat.
Dalam hal ini, terlalu sukar untuk menentukan tuan tanah
yang paling asal kerana kekangan sejarah dan waktu. Namun ini bukanlah sesuatu
yang mustahil dengan mengambil kira sejarah yang sedia ada. Umpamanya, tanah
Palestine ini pada asalnya ditadbir bangsa Kanaan.
Israel-Palestin
Selepas kekalahan Empayar Uthmaniyah dalam Perang Dunia
Pertama, tanah jajahannya dibahagikan kepada negara-negara Bersekutu. Bahagian
selatan Uthman Syria yang merangkumi Jordan dan Palestin diletakkan di bawah
pemerintahan dan pentadbiran British. Pemerintahan dan pentadbiran ini diberi
nama sebagai Mandat Palestin British ataupun Mandat Palestin. Mandat Palestin
telah diluluskan oleh Liga Dunia pada 24 Julai 1922 dan berkuat kuasa
sepenuhnya pada 26 September 1923. Melalui mandat ini, British mempunyai kuasa
mentadbir bermula 1923 sehingga 1948.
Pada 16 September 1922, British telah membahagikan kawasan
mandat kepada dua iaitu Palestin dan Transjordan. Palestin diletakan dibawah
pemerintahan British secara terus manakala Transjordan diberi kuasa autonomi di
bawah pemerintahan keluarga Hashemite dari Kerajaan Hejaz.
Deklarasi Balfour
Deklarasi Balfour merupakan satu surat bertarikh 2 November
1917 daripada Setiausaha Luar United Kingdom, Arthur James Balfour kepada ketua
masyarakat Yahudi British, Baron Rothschild. Dalam surat ini, kerajaan British menyatakan
sokongan terhadap penubuhan sebuah Negara untuk orang Yahudi di Palestin.
Deklarasi Balfour ditulis sebelum kejayaan British
mengalahkan kerajaan Uthmaniyah dalam Operasi Jerusalem pada 30 Disember 1917.
Operasi ini telah bermula pada 17 November iaitu kira-kira 2 minggu sebelum
deklarasi membuktikan hubung kait yang jelas akan peranan kerajaan British dan
pemimpin Zionis dalam menentukan perjalanan wilayah Palestin selepas kejatuhan
kerajaan Uthmaniyah.
TPPA
TPPA merupakan isu yang kontraversial di Malaysia. Apakah
sebenarnya TPPA? Menurut penentang TPPA, TPPA merupakan satu perjanjian
perdagangan yang berisiko mendatangkan kesan negatif kepada negara. Apakah
kesan negatif ini? Kerajaan, walau bagaimanapun masih beranggapan TPPA baik
untuk rakyat dan negara namun terma perjanjian ini perlu diperhalusi sebelum
sebarang keputusan dibuat. Oleh itu, kerajaan meneruskan perbincangan TPPA
dalam usaha mendapatkan terma yang menguntungkan negara dan meminimakan risiko
yang mungkin.
Apakah itu TPPA?
Pada asalnya, 4 buah negara iaitu Brunei, Chile, Singapura
dan New Zealand telah menyertai satu kerjasama ekonomi yang dikenali sebagai
Trans-Pasific Strategic Economic Partnership (TPSEP) atau P4. Perjanjian
kerjasama ekonomi ini kemudiaanya ingin diperluas menjadi 12 negara anggota.
Perjanjian antara 12 negara Pasifik inilah yang disebut sebagai TPPA.
TPPA merupakan singkatan bagi Trans Pasific Partnership
Agreement atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik. Atau lebih mudah,
Perjanjian Kerjasama Negara-negara Pesisir Pasifik. Perjanjian kerjasama adalah
tertumpu kepada sektor ekonomi dimana negara-negara terlibat akan mengurangkan
peraturan-peraturan, undang-undang dan cukai bagi meningkat pedagangan dan
pelaburan di antara negara-negara. Selain itu, kerjasama juga meliputi usaha
untuk menyediakan peraturan-peraturan, garis panduan atau undang-undang yang
seragam bagi melindungi hak cipta, buruh dan alam sekitar. Satu mekanisme untuk
menyelesaikan pertikaian melibatkan pelabur dan negara juga turut dirangka.
Bunyi seperti FREE TRADE atau PERDAGANGAN BEBAS? Betul,
ianya memang satu perjanjian perdagangan bebas seperti mana umum faham. Cumanya
ia lebih meluas iaitu tidak hanya menyentuh soal meningkatkan pelaburan dan
pedagangan antara negara melalui penghapusan cukai-cukai berkaitan pengimportan
dan pengeskportan.
Ringkasnya, ia menyediakan persekitaran yang baik untuk
pelaburan dan perdagangan. Dengan pengurangan cukai dagangan umpamanya, kos
dapat perdagangan dapat dikurangkan. Pengguna pula akan mendapat harga barangan
yang lebih murah.TPPA akan mengurangkan halangan perdagangan dan menjamin
persekitaran pelaburan yang kompetitif. Undang-undang dan mekanisme kawalan
yang diwujudkan membolehkan meningkatkan keyakinan pengeluar terhadap iklim
perniagaan di negara-negara anggota. Bukankah ini baik untuk kita semua?
Jadi, kenapa masih ramai yang menolak TPPA?
Seperti mana perdagangan bebas, TPPA mempunyai impak yang
sama iaitu PERSAINGAN. Tak semua orang suka bersaing. Bersaing akan
meningkatkan productivity dan efficiency. Ini kerana hanya yang terbaik akan
memperoleh habuan. Bagi orang yang suka bersaing, kekalahan boleh dilihat
sebagai satu yang positif. Bagi sesetengah yang lain pula, persaingan kekalahan
dalam satu persaingan adalah satu kerugian. Selain itu, persaingan perlulah
adil untuk memuaskan hati semua orang. Kesukaran untuk menentukan keadilan
dalam persaingan inilah menyebabkan TPPA tidak dapat diterima.
Sebagai contoh, apabila TPPA dilanksanakan, pengeluar tempatan
terpaksa bersaing dengan produk daripada luar. Sebelum TPPA, pengeluar
dilindungi kerajaan melalui cukai yang dikenakan ke atas produk import. Produk
import akan menjadi lebih mahal lalu menyebabkan produk tempatan menjadi
pilihan pembeli. Jika quality dan harga sesuatu produk tempatan dan import
(contohnya daripada US) adalah sama, pembeli akan membeli produk import (US).
Ianya hampir pasti berlaku di Malaysia. Iaitu pembeli Malaysia akan membeli
produk US. Di US pula, rakyat US akan memilih produk tempatan (US) berbanding
produk import (Malaysia). Dalam kedua-dua keadaan, pengeluar Malaysia akan
mengalami kerugian. Ianya merupakan persaingan yang tidak adil kerana
melibatkan spekulasi atau emosi ketika pembelian suatu barangan.
TPPA juga menekankan terhadap harta intelek. Melalui TPPA,
undang-undang berkaitan harta intelek akan diperketatkan dan diseragamkan.
Kerajaan tidak boleh lagi menggubal atau melaksanakan undang-undang sendiri
kerana ianya perlu mengikuti standard yang ditetapkan TPPA. Dalam hal-hal
berkaitan
Pahang
1.
Terdapat dua catatan terawal mengenai Pahang
yang ditulis oleh dua orang penulis China iaitu Chau Ju-Kua dan Wang Ta-Yuan.
Pada 1225, Chau Ju-Kua telah menyebut Pahang sebagai “Pong-fong”, iaitu sebuah
kawasan di bawah pengaruh San Fo-ts’i. Dr. Coedes mengenal pasti San Fo-ts’I
sebagai kerajaan Melayu Srivijaya yang pada ketika itu berpusat di Palembang.
Chau Ju-Kua juga ada menyebut mengenai sebuah lagi negeri jajahan San Fo-ts’I
iaitu Tan-ma-ling. Catatan Wang Ta-Yuan dalam Tao I chik lio yang ditulis pada
tahun 1349 pula menyebut tentang P’eng K’eng dan Pa-tu-ma iaitu merujuk kepada
Pahang dan Pulau Tioman.
2.
Menurut Nagarakrtagama yang ditulis pada tahun
1365 pula menyebut Pahang sebagai negeri jajahan Majapahit. Selain Pahang,
Ujong Medini (Johor), Muar, Langkasuka, Kelantan, Trengganu, Paka dan Dungun,
Tumasik (Singapura), Sang Yang Ujong (Sungai Ujong), Kelang dan Kedah juga
merupakan negeri-negeri yang berada di bawak kekuasaan Majapahit.
3.
Dinasti Ming di China turut merekodkan Pahang
sekitar abad ke-14 dan ke-15. Menurut rekod ini, Pahang merupakan sebuah
kawasan yang terletak di sebelah barat Siam. Pada tahun 1378, rajanya bernama
Maharaja Tajau telah menghantar perutusan membawa bersama ufti sebagai
persembahan kepada Mahajara China. Menurut Linehan (1973), Tajau yang disebut
di sini mungkin merujuk pada “Tanjung”. Pelayar-pelayar pada ketika itu
mengenali kawasan tanjung Sungai Pahang sebagai Tanjung Pahang. Pada tahun
1411, rajanya bernama Pa-la-mi-so-la-ta-lo-si-ni telah menghantar ufti bagi
tujuan persembahan. Menurut pengkaji, Pa-la-mi-so-la-ta-lo-si-ni merujuk kepada
“Parameswara Telok Chini”. Tahun 1412, Cheng Ho dihantar sebagai pegawai
perutusan. Pada 1414, ufti sekali lagi telah dibawa ke China. Pada tahun 1416,
ufti dihantar bersama-sama dengan perutusan dari Kalikut dan Jawa. Cheng Ho
dihantar sekali lagi ke sana.
4.
Fei Hsin menulis mengenai Pahang yang menyerupai
rekod catatan Dinasti Ming pada tahun 1436 yang antara lain memberi gambaran
tentang tempat, cuaca, aktiviti ekonomi, adat dan perwatakan penduduknya.
5.
Menurut d’Eredia pula, Pahang merupakan kerajaan
Melayu kedua di Semenanjung Melayu selepas Patani. Kedua-dua kerajaan ini telah
bertapak lama sebelum pengasasan Melaka lagi. Pahang atau “Pan” atau “Pam” telah
didatangi oleh pedangan luar terutamanya disebabkan oleh perlombongan emas.
D’Eredia turut menyebut Pam sebagai kerajaan yang mentadbir Singapura.
Berkenaan dengan Parameswara (d’Eredia menyebutnya sebagai Permicuri) pula, dia
berasal dari Palimbang di Sumatera. Parameswara kemudiaanya berkahwin dengan
pembesar-pembesar dan kerabat diraja Patani dan Pam. Agama Islam pula telah
mula bertapak di Pahang sebelum Islam datang ke Melaka lagi.
Rokok
Rokok dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif terutama
melibatkan hal kesihatan. Kandungan bahan kimi yang terdapat dalam rokok
didapati boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti serangan jantung,
strok dan kanser. Mengetahui hal ini, sepatutnya masyarakat menjauhi rokok
manakala perokok pula perlu segera behenti. Kerajaan pula telah menjalankan
pelbagai iniasiatif dalam mengekang masalah yang berpunca daripada rokok.
Walaubagaimanapun, setiap usaha yang dilakukan kerajaan dan masyarakat dilihat tidak
menghasilkan kesan yang diingini. Jumlah perokok pula semakin meningkat. Apakah
yang menjadi kekangan kepada kita dalam menyelesaikan masalah ini?
Ringkasan Rokok
Dalam Bahasa Inggeris, rokok dipanggil “cigarette”.
Perkataan “cigarette” berasal daripada perkataan Perancis yang merujuk kepada
“cigar kecil”. Perkataan cigar pula berasal dari Sepanyol, Portugis dan Yunani
yang bermaksud “cigarro”. Perkataan “cigarro” ini pula berasal dari perkataan
Mayan, “siyar” yang bermaksud “mengasapkan gulungan daun tembakau”. Rokok
merupakan satu gulungan kertas daun tembakau yang dipotong kecil yang
dinyalakan di satu bahagian hujung bagi menghasilkan asap yang kemudiaan
disedut melalui hujung yang satu lagi. Pada zaman ini, kandungan rokok bukan
hanya terdiri daripada potongan halus daun tembakau tetapi juga mengandungi
pelbagai jenis bahan kimia. Di dalam daun tembakau terdapat satu bahan
psikoaktif kimia yang disebut nikotin. Nikotin inilah yang menyebabkan
ketagihan kepada perokok.
Bagaimana nikotin menyebabkan ketagihan?
Nikotin merupakan sejenis alkaloid yang terdapat pada daun
tembakau. Fungsinya adalah sebagai bahan kimia bagi mengelakkan dimakan oleh
binatang. Di dalam tubuh badan, nikotin bertindak sebagai bahan stimulasi.
Kebaikan rokok
Nikotin di dalam rokok berfungsi sebagai bahan stimulasi dan
penenang yang boleh mengubah mood atau semangat. Ia menyebabkan pelepasan
glukos dari hati dan epinephrine (adrenaline) dari adrenal medulla yang
menyebabkan stimulasi. Stimulasi boleh memberi kesan peningkatan aktiviti pada
tubuh badan. Dengan erti kata lain, stimulasi meningkatkan fungsi dan aktiviti
badan yang member kesan kepada ketenangan, ketajaman deria, kesabaran dan
penumpuan. Apabila merokok, nikotin akan meresap di dalam darah dan dibawa ke
peparu dan otak dalam beberapa saat sahaja. Ia kemudiaannya meningkatkan
pengeluraran beberapa isyarat kimia disebut neurotransmitter. Neurotransmitter
ini pula kemudiaanya meningkatkan pengeluran acetylkolin, norephinephrine,
beta-endorphin dan dopamine.
Kesan baik
|
Bahan kimia
|
Meningkatkan daya tumpuan dan ingatan
|
Acetylcholine
|
Meningkatkan perasaan berjaga-jaga
|
Acetylcholine and norepinephrine
|
Menaikan perasaan ghairah
|
Norepinephrine
|
Mengurangkan kesakitan
|
Acetylcholine and beta-endorphin
|
Mengurangkan keletihan
|
Beta-endorphin
|
Memberikan kegembiraan
|
Dopamine
|
Keburukan rokok
Amalan merokok dipercayai telah menyebabkan pelbagai jenis
penyakit terutama yang berkaitan dengan jantung dan paru-paru. Rokok
meningkatkan risiko serangan jantung, Chronic Obstructive Pulmonaryu Disease
(COPD), emphysema dan kanser. Selain itu, perokok biasanya mempunyai jangka
hayat yang sedikit berbanding bukan perokok.
Antara penyakit yang berpunca daripada rokok
|
||
Jangka hayat rendah
|
Influenza
|
Psikologi
|
Kanser
|
Oral
|
Tekanan
|
Penyakir berkaitan pulmonary
|
Jangkitan
|
Perubahan perangai dan tingkah laku
|
kardiovaskular
|
Kemandulan
|
Fungsi kognitif
|
Buah pinggang
|
Shaywat
|
Kehamilan
|
Menurut laporan yang dikeluarkan WHO dalam WHO Report on the
Global Tobacco Epidermic 2008, 51.1% lelaki Malaysia adalah perokok manakala
wanita mewakili 2.5%. Mengambil angka 25 juta populasi Malaysia, ini bermakna
kira-kira 6 juta lelaki dan 310 ribu wanita Malaysia adalah perokok menjadikan
jumlah keseluruhan 6.5 juta.
1 Januari 2010-Minimum RM6.40
4 Oktober 2010-70 sen
22 Oktober 2012-20 sen
3 Jun 2013-3%
3.1 juta 2007
4.7 juta 2008
MH17
Apakah yang terjadi kepada pesalah MH17?
Sibuk kita memilih teori manakah yang boleh digunakan dalam
tragedi MH17. Berbanding dengan teori kehilangan MH370, teori MH17 lebih
berkaitan dengan siapakah yang bertanggungjawab menjatuhkan MH17 sehingga mengakibatkan
kerugian besar baik kepada mangsa, waris, syarikat penerbangan, negara-negara
terlibat mahupun konflik yang sedang berlangsung. Ramai bersetuju bahawa MH17
sememangnya telah ditembak jatuh. Orang yang menembaknya mungkin sama ada
kumpulan pemisah pro-Russia ataupun kerajaan Ukraine yang anti-Russia.
Kedua-dua pihak masih menuding jari ke arah lawan masing-masing sambil
mengemukakan bukti yang mereka anggap menyokong keterangan yang didukung.
Adakah pula tindakan menembak jatuh MH17 itu satu kesilapan, kesalahan, jenayah
ataupun matlamat peperangan? Sifat serangan itu akan mencerminkan motif sebenar
serta menentukan bagaimana mereka boleh dihukum. Jika ia satu kesilapan atau
kesalahan yang tidak disengajakan, seseorang perlu dibawa ke muka pengadilan.
Jika ia satu jenayah iaitu satu tindakan yang disengajakan, ia juga perlu
dibawa ke muka pengadilan. Jika ia satu matlamat peperangan, ia tidak boleh
dipanggil satu jenayah. Sehingga ke hari ini, tiada pihak yang mengaku
bertanggungjawab memperlihatkan ianya bukan satu tindakan yang tidak
disengajakan. Ini kerana kebiasaanya dalam skala antrabangsa, pihak yang
membuat kesilapan segera untuk tampil ke hadapan dan bertanggungjawab
sepenuhnya kepada apa yang mereka lakukan. Apa yang jelas, ia merupakan satu
tindakan yang disengajakan dan pihak yang melakukannya tidak berani tampil
untuk memikul tanggungjawab itu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa ia
merupakan satu tindakan jenayah yang disengajakan.
Siapa yang akan menghukum?
Jelas sekali tragedi berlaku di dalam wilayah kekuasaan
Ukraine. Jadi, Ukraine lah yang bertanggungjawab membawa pelaku ke muka
pengadilan. Namun begitu, keadaan menjadi rumit kerana kawasan terbabit berada
dalam kancah peperangan. Secara teknikalnya, Ukraine telah kehilangan hak kekuasaan
itu kepada puak pemisah pro-Russia. Tetapi puak pemisah juga tidak mempunyai
kuasa sebenar untuk mempraktikan kekuasaan mereka sebagai sebuah negara dan
kerajaan berdaulat. Kebanyakkan negara yang terlibat pula terbatas kekuasaan
mereka melainkan menggunakan perantara antarabangsa seperti Mahkamah Keadilan
Antrabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Netherlands pula
berhak mengikut undang-undang mereka untuk mengheret pelaku ke mahkamah mereka
jika mangsa yang terlibat adalah warga mereka. Jadi kemungkinan ada tiga pihak
yang boleh menghukum di sini iaitu Ukraine, badan antarabangsa seperti ICJ dan
Netherlands.
Apakah hukuman?
Dalam kes Penerbangan Siberia 1812, kerajaan Ukraine telah
bersetuju untuk membayar pampasan berjumlah USD15 juta kepada keluarga bagi 78
penumpang yang terkorban. Kerajaan walaubagaimana menolak untuk
dipertanggungjawabkan terhadap insiden itu. Beberapa keluarga telah membawa kes
ini ke mahkamah sivil dan mahkamah mendapat bahawa kerajaan Ukraine tidak memupnyai
liabiliti terhadap insiden itu.
Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka 1511
Melaka
telah diasaskan oleh Parameswara, seorang putera dari Palembang pada tahun
1400. Kedudukannya yang strategik telah membolehkan Melaka berkembang menjadi
sebuah perlabuhan entrebot yang terkenal di seantero dunia. Hasil daripada
kekuatan ekonomi ini, Melaka telah berkembang menjadi sebuah empayar yang
dominan di kepulauan Melayu. Pada zaman kegemilangannya, Empayar Melaka telah
berkembang meliputi Semenanjung Tanah Melayu, Sumatra dan kepulauan Riau.
Memasuki
abad ke-16, Melaka masih mengekalkan statusnya sebagai empayar yang kuat.
Namun, kematian bendahara Tun Perak pada tahun 1498 menandakan permulaan
kemerosatan empayar Melaka. Tun Perpatih Putih iaitu adik Tun Perak telah
dilantik sebagai bendahara yang baru. Pentadbiran Tun Perpatih Putih dikatakan
tidak berkesan. Selain itu, hubungan di antara orang Melayu dan Islam Gujerat
di istana menjadi semakin tegang. Pada tahun 1500, Tun Mutahir daripada
kalangan Islam Gujerat telah menggantikan Tun Perpatih Putih. Peralihan jawatan
bendahara ini memberi kesan yang besar dalam sejarah Melaka. Hal ini kerana Tun
Mutahir dan keluarganya telah dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Shah akibat
enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Disebabkan itu, Sultan
Mahmud Shah telah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh
anaknya, Sultan Ahmad Shah.
Pada
tahun 1509, rombongan Portugis yang diketuai oleh Diogo Lopez de Sequiera tiba
di Melaka dalam misi untuk menilai prospek perdagangan. Disebabkan salah faham,
rombongan ini telah diserang dan sebilangan anak kapalnya telah ditahan oleh penduduk
tempatan. Hal ini telah menimbulkan kemarahan Portugis yang menghantar gabenor
India Portugis yang berpangkalan di Goa bernama Afonso de Albuquerque untuk menyerang
Melaka. Serangan pertama dilancarkan pada 25 Julai 1511 namun gagal untuk
meruntuhkan pertahanan Melaka. Melaka pada akhirnya jatuh ke tangan Portugis
dalam serangan kedua pada bulan Ogos. Selain persediaan dan kekuataan Portugis
yang jauh lebih baik, krisis yang berlaku di dalam istana yang melibatkan
bendahara Tun Mutahir turut memainkan peranan yang penting.
Selepas
jatuhnya kota Melaka, Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri ke
wilayah-wilayahnya dan melancarkan serangan dari situ bagi mendapatkan kembali empayarnya.
Walau bagaimanpun, kesemua cubaan baginda telah gagal sehinggalah baginda
mangkat pada tahun 1528. Walaupun Empayar Melaka gagal dipulihkan, dua orang
putera baginda telah mengasaskan dua buah kerajaan baharu iaitu Kesultanan
Perak dan Kesultanan Johor.
Penjajahan Israel di Palestin
PENEMPATAN ISRAEL DI
PALESTIN
Penempatan Israel di wilayah
jajahan adalah kawasan penduduk yahudi di atas tanah yang dijajah Israel semasa
Six Day War 1967. Penempatan ini meliputi kawasan di West Bank, East Jerusalem
dan Golan Height. Penempatan seumpama ini juga wujud di Sinai Strip sebelum
dikosongkan Israel berikutan perjanjian aman Israel-Mesir 1979. Pada tahun 2005
pula, Israel mengosongkan penempatan mereka di Gaza.
Komuniti antarabangsa menyifatkan
penempatan ini sebagai haram. Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 497 menyatakan pengilhakan Bukit
Golan oleh Israel pada 1981 sebagai tidak sah. Ini bermakna status Bukit Golan
kekal sebagai milik Syria dan kekal sebagai wilayah jajahan Israel. Oleh itu,
penempatan Israel tidak boleh dibina di Bukit Golan. Resolusi 446 dan 465 juga
menyatakan penempatan Israel di wilayah jajahan yang diperoleh semasa Perang
Enam Hari 1967 adalah menyalahi Konvensyen Keempat Geneva. Mahkamah Keadilan
Antarabangsa juga menyatakan penempatan ini adalah meyalahi undang-undang.
Tambahan lagi, kesemua negara di dunia juga tidak menyokong tindakan yang
dilaksanakan Israel.
Setakat Julai 2012, populasi Yahudi
di penempatan seumpama ini adalah seramai 350 150 orang dari 121 penempatan di
Tebing Barat, 300 000 orang di Jerusalam Timur dan lebih 20 000 di Bukit Golan.
Adakah Penempatan Israel Di Wilayah Jajahan Sah?
Yasser Arafat membacakan proklamasi
kemerdekaan Palestine (State of Palestine) pada 15 November 1988 selepas diluluskan
oleh Majlis Kebangsaan Palestine (Palestine National Council). Beliau kemudiaan
memegang jawatan presiden. Berikutan pada itu, Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly) telah mengadakan undian
Resolusi 43/177 pada 15 Disember 1988 yang mengiktiraf kewujudan Negara
Palestine. Resolusi ini juga menyatakan kewajaran hak rakyat Palestine ke atas
wilayah yang dijajah sejak 1967. Oleh kerana Palestine merupakan sebuah Negara
untuk rakyat Palestine, maka tanah jajahan takhluknya adalah sah iaitu meliputi
kawasan yang telah dipetakan selepas Perang Enam Hari 1967 (1967 Six-Days War).
Jadi selepas pengiktirafan kemerdekaan ini, tanah jajahan ini yang meliputi
kawasan Tebing Barat (West Bank) dan Semenanjung Gaza (Gaza Strip) secara rasmi
merupakan tanah yang dijajah oleh Israel. Secara teknikal, Tebing Barat dan
Semenanjung Gaza tertakluk kepada undang-undang adat antarabangsa melalui
Konvensyen Geneva 1949. Melalui artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat (KG4)
berkaitan dengan perlindungan orang awam semasa perang, menjelaskan kuasa
penjajah tidak boleh menghantar atau memindahkan populasi awamnya ke dalam
wilayah yang dijajah. Hal ini jelas berlaku di Palestine dalam bentuk pembangunan
penempatan Israel di wilayah yang dijajah terutama di Tebing Barat.
Israel menafikan penempatan ini
telah melanggar KG4. Menurut mereka, pendatang (settler) Yahudi bukan berasal
dari Israel dan tidak dipindahkan ke Tebing Barat. Selain itu, Israel
mempersoalkan kewajaran KG4 diguna pakai dalam isu Palestine kerana Tebing Barat
dan Gaza bukanlah wilayah yang dijajah tetapi wilayah yang dipertikaikan. Oleh
kerana wilayah ini dikawal Israel hasil Perang Enam Hari yang pada ketika itu
tidak diletakkan dibawah mana-mana kerajaan yang sah, maka wilayah ini tidak
dijajah tetapi dipindahkan kawal selia kepada Israel. Tambahan pula, penempatan
ini didirikan oleh orang Yahudi dengan rela hati dan bukannya atas dasar
politik atau paksaan kerajaan Israel. Pada masa yang sama, kerajaan Israel
tidak terlibat dalam usaha menghalau penduduk asal di kawasan penempatan itu.
Sarawak keluar Malaysia?
Jika Sarawak meninggalkan Malaysia...
Kelebihan kepada Malaysia
Saiz geografi dan penduduk yang lebih kecil akan memudahkan
urusan pentadbiran dan pengagihan sumber. Ini kerana pentadbiran dan pengagihan
sumber akan terfokus dan menjadi lebih berkesan. Sarawak merupakan negeri
terbesar namun mempunyai populasi yang kecil jika dibandingkan dengan Selangor,
Johor dan Sabah. Kepadatan penduduk pula tertumpu kepada beberapa bandar-bandar
besar seperti Kuching, Miri dan Sibu. Masih ramai penduduk yang menetap di
lokasi-lokasi terpencil dan jauh di pendalaman. Oleh sebab itu, urusan
pentadbiran bagi kawasan-kawasan terpencil dan pendalaman ini adalah sukar dan
berkos tinggi. Sebagai contoh, pembangunan logistik bagi suatu kawasan akan
memakan kos yang tinggi jika dibandingkan dari segi impak keseluruhannya.
Kesukaran ini akan sentiasa menghantui kerajaan pusat kerana dianggap gagal
untuk memajukan kawasan terbabit. Pandangan negatif ini seterusnya akan menular
ke kawasan-kawasan lain yang menjejaskan kredibiliti kerajaan. Oleh itu,
ketiadaan Sarawak akan memberi lebih banyak peluang kepada kerajaan untuk
memajukan negeri-negeri lain dan mengukuhkan lagi kawalan dan pengaruhnya.
Keburukan kepada Malaysia
Dalam suatu gerakan pemisahan, prinsip integriti wilayah sering
menjadi isu terpenting. Apabila sesuatu wilayah berpisah daripada negara, ia
akan menjejaskan integriti wilayah negara tersebut. Kejayaan gerakan pemisahan
akan meningkatkan usaha pemisahan wilayah-wilayah lain seterusnya menjejaskan
integrity wilayah tersebut. Disebabkan itu, usaha gerakan pemisahan akan
ditangani secara keras oleh kerajaan. Selain itu, integrity wilayah juga
melibatkan factor keselamatan dan ancaman yang timbul apabila negara berpecah.
Ia bukan sahaja menjejaskan system pertahanan dan keselamatan sedia ada, namun
juga menimbulkan ancaman baru dari segi dalaman dan persaingan antara dua
negara.
Ekonomi Politik
Ekonomi Politik: Apa yang perlu kita tahu?
Aspek ekonomi dalam politik merupakan perkara yang sangat
penting. Ini kerana, ekonomi menentukan kestabilan politik. Perkembangan dunia
hari ini memerlukan kita untuk terjebak dalam arus globalisasi atau suatu dunia
tanpa sempadan. Ia membawa maksud ekonomi kita adalah saling berkait dengan
ekonomi di luar sempadan. Bagi seorang pengeluar, globalisasi menyediakan
pasaran yang lebih luas. Ini bererti lebih keuntungan. Bagi seorang pengguna
atau pembeli, kita dapat membeli produk dari luar yang pelbagai pada harga yang
kompetitif. Begitulah bagaimana pada akhirnya ekonomi memainkan peranan yang
cukup besar dalam kehidupan seseorang. Negara juga bertindak sebagai sebuah
pengguna atau pengeluar. Oleh itu, aspek ekonomi dalam politik sentiasa menjadi
pengaruh yang penting.
Oleh itu, kerajaan perlu menguruskan ekonomi negara dengan
baik supaya tidak bankrap. Secara umumnya, bankrap bagi negara adalah sama bagi
individu. Bankrap bererti tidak mampu membayar hutang, tidak boleh dipercayai
dan tidak mampu untuk menyara diri. Status sebegini sudah pastinya akan
menjejaskan kehidupan seseorang dan juga negara.
Bagi membincangkan soal ekonomi, kita perlu melihat kepada
dua perkara iaitu pendapatan dan belanjawan. Jika pendapatan kita lebih banyak
daripada apa yang dibelanjakan, kita telah berjimat cermat dan membuat
simpanan. Jika kita belanja kesemua pendapatan kita, kita tidak menyimpan
apa-apa. Jika kita membelanjakan lebih daripada pendapatan, ini bererti kita
telah berhutang. Sebuah ekonomi yang baik biasanya bermatlamat untuk membuat
simpanan. Simpanan bermaksud kita telah belanja mengikut kemampuan dan ianya
boleh digunakan apabila terdapat kesulitan kelak. Oleh itu, sebuah kerajaan
yang baik biasanya dapat menguruskan belanjawan negara dengan baik dan membuat
simpanan untuk digunakan semasa kecemasan ataupun membuat pelaburan.
Namun begitu, usaha untuk membuat simpanan bukanlah sesuatu
yang mudah. Ini kerana kerajaan mesti berbelanja dalam pengurusan dan
pembangunan negara. Belanja pengurusan dan pembangunan meningkat setiap tahun.
Dalam kes-kes yang lain pula, sifat kerajaan yang memboros atau tidak berkesan
dalam menguruskan ekonomi juga mendatangkan kesan yang negatif. Selain itu,
unsur-unsur jenayah seperti rasuah turut menyebabkan pembelanjaan meningkat
tanpa dapat ditampung oleh pendapatan. Untuk itu, pendapatan yang dikutip juga
mestilah meningkat bagi membuat pembayaran. Dalam kes-kes tertentu, pendapatan
boleh menyusut disebabkan faktor luar jangka seperti kemelesetan ekonomi.
Secara mudah, negara dapat membuat simpanan jika hasil
pendapatan dapat ditingkatkan, mengamalkan perbelanjaan yang berkesan dan
menangangi unsur-unsur jenayah selain berdoa agar ekonomi dunia sentiasa sihat.
Peluang Pekerjaan
1.
Bagi seorang PM, adalah wajib untuk berjanji
meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan penangguran. Apabila peluang
pekerjaan bertambah, ramai yang akan mempunyai pekerjaan, hidup menjadi selesa,
mereka akan gembira, PM pun akan gembira. Jadi, kenapa tak create lagi banyak
peluang pekerjaan untuk gembirakan lagi ramai orang?
2.
Kerajaan boleh mengwujudkan peluang pekerjaan
melalui 2 cara. Pertama, menyediakan pekerjaan secara langsung di sektor awam.
Kedua, mengwujudkan peluang ekonomi bagi sektor bukan kerajaan atau swasta yang
seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Terdapat perbezaan yang
ketara bagi kedua-dua kaedah ini. Pertama, menyediakan pekerjaan baharu di
sektor awam akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan. Kedua, pekerjaan yang
baharu dicipta ini akan mengurangkan produktiviti pekerja jika hasil kerja
tidak perlu ditambah. Jika kerja sengaja ditambah, ia meningkatkan birokrasi
dan mengurangkan efficiency. Pertambahan kerja memang boleh meningkatkan
produktiviti jika hasilnya bertambah dan hasil tersebut dapat digunakan. Namun
malangnya, hal ini tidak berlaku di kebanyakkan sektor awam menyebabkan
penambahan kerja hanya mengurangkan produktiviti dan merugikan kerajaan.
3.
Namun begitu, PM suka untuk membuat orang
gembira kerana rakyat yang gembira akan mengundi untuk PM dalam Pilihan Raya
akan datang. Selain itu, pertambahan pekerjaan tidak semestinya merugikan.
Semakin ramai orang mempunyai pekerjaan, semakin banyak perbelanjaan yang
dibuat. Ini meguntungkan ekonomi kita kerana lagi banyak peluang pekerjaan
baharu dapat dicipta untuk memenuhi selera berbelanja rakyat. Selain itu,
jumlah cukai yang diterima kerajaan juga akan bertambah hasil daripada cukai
individu dan perniagaan.
Menjadi Negara Merdeka
Bagaimana menjadi sebuah negara merdeka?
Cara paling mudah adalah dengan mengisytiharkan kemerdekaan.
Pengisytiharan bermaksud membuat pengumuman tentang sesuatu keadaan.
Pengiytiharan boleh dibuat secara sembunyi atau sulit ataupun secara terbuka.
Ia juga boleh dibuat secara berseorangan ataupun dilakukan dihadapan individu
lain. Dalam hal ini, pengisytiharan kemerdekaan sesebuah negara merujuk kepada
pengumuman secara terbuka yang dilakukan di hadapan individu lain. Ini memenuhi
kehendak sesebuah negara itu untuk merdeka iaitu bebas daripada pengaruh orang
lain. Jika ianya dilakukan secara sembunyi atau bersendirian, ia mungkin takut
terhadap respon pihak lain. Dalam hal ini, ia tidak bebas dan tidak merdeka.
Walau bagaimanapun, pengisytiharan secara sembunyi atau bersendirian ini
mempunyai kelebihan yang membolehkan tindakan pengisytiharan itu memperlihatkan
usaha untuk bebas dan merdeka. Sebagai contoh, jika sesebuah negara yang ingin
merdeka mempunyai musuh yang sangat sukar untuk ditewaskan, pengisytiharan
secara sembunyi dan bersendirian ini boleh menguatkan lagi semboyan untuk
merdeka. Dalam hal ini, perjuangan untuk merdeka sepenuhnya bermula dengan
kemederkaan yang diisytiharkan lebih awal tersebut. Setakat ini, belum ada
sebarang pengisytiharan kemerdekaan secara sulit boleh dilihat. Hal ini mungkin
kerana sifat pengisytiharan itu yang ingin memaklumkan tentang kemerdekaan
negara tersebut lalu tidak memungkinkan ianya dilakukan secara sulit. Sebagai
contoh, Indonesia disiytiharkan merdeka pada tahun 1945 meskipun masih berada
dalam penjajahan Belanda. Namun, pengisytiharan ini telah menyemarakan api
penentangan terhadap Belanda sehinggalah memaksa Belanda menyerah kalah pada tahun
1949. Dalam hal ini Indonesia dikatakan mencapai kemerdekaan apabila pengisytiahran
dibuat pada tahun 1945. Dalam sudut lain, Indonesia boeh juga dilihat merdeka
pada tahun 1949 iaitu ketika Belanda menyerah kalah secara rasmi. Perkembangan
terbaru pula menyebut Belanda sebagai menerima kemerdekaan Indonesia 1945 dalam
usaha merapatkan hubungan di antara kedua-dua negara. Dalam hal ini,
kemerdekaan Indonesia 1945 dilihat sebagai kemerdekaan secara de facto.
Kemerdekaan secara rasmi iaitu secara hitam putih dan secara bersama (negara
penjajah dan negara dijajah) pada 1949 juga masih relevan mengikut perspektif
perundangan.
Berbeza dengan Malaysia yang mencapai kemerdekaan melalui kata
sepakat dengan penjajah, pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah
diterima tanpa sebarang perdebatan. Dalam kes Sarawak pula, beberapa fakta dan hujah perlu diambil
kira. Pertama, Sarawak merupakan sebuah negara merdeka semasa pemerintahan
Dinasti Brooke sehinggalah Jepun menjajah pada tahun 1945. Selepas Jepun
menyerah kalah, Sarawak dianggap memperoleh semula kemerdekaannya. Status ini
adalah wajar tanpa sebarang deklarasi kemerdekaan. Sebagai pemilik sah
kerajaan, Rajah Charles Vyner Brooke kemudiaanya menyerahkan Sarawak kepada
British melalui pembentukan Koloni Mahkota Sarawak. Sebaik sahaja penyerahan
ini dibuat, Sarawak bukan lagi negera merdeka. Pada 9 Julai 1963 pula, wakil
kerajaan tempatan Sarawak telah mengikat perjanjian bagi membentuk Malaysia.
British sebagai kuasa penjajah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan Sarawak
melalui Malaysia pada 31 Ogos 1963. Sehubungan dengan itu, sebuah kerajaan
Sarawak dibentuk pada 22 Julai. Walau bagaimanapun, tarikh kemerdekaan dalam
perjanjian ini terpaksa ditunda kepada 16 September. Sabah dan Singapura walau
bagaimanapun mengisytiharkan diri sebagai bebas daripada kuasa colonial pada 31
Ogos seperti mana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia yang asal.
Akhirnya pada 16 September, ketiga-tiga kerajaan mengisytiharkan kemerdekaan
melalui Malaysia. Apa yang berlaku pada 22 Julai di Sarawak adalah satu proses
penyediaan sebelum kemerdekaan. Dalam hal ini, Sarawak telah mencapai status
berkerajaan sendiri seperti mana yang dicapai oleh Malaya pada tahun 1955. Dalam
kes Singapura pula, ia dilihat mencapai status berkerajaan sendiri juga pada
tahun 1955 walaupun British secara rasmi memberikan status itu pada tahun 1959.
Tindakan Singapura yang dilihat sebagai mengisytiharkan kemerdekaan adalah pada
31 Ogos 1963 meskipun tiada pengisytiharan kemerdekaan dilakukan secara
spesifik. Pengisytiharan secara rasmi hanya dibuat pada 16 September.
Negara
Asal usul Negara
Dalam erti kata umum, negara merupakan sebuah kawasan atau
wilayah yang berinteraksi dengan kawasan atau wilayah yang lain. Kawasan atau
wilayah ini pula ditadbir oleh sebuah entiti atau kerajaan yang mempunyai kuasa
yang tertinggi terhadap kawasan atau wilayah tersebut. Oleh sebab itu, kawasan
atau wilayah yang diletakkan di bawah kawasan atau wilayah lain atau ditadbir
oleh entiti atau kerajaan lain tidak boleh dipanggil negara. Sebagai contoh,
sebuah daerah sememangnya ditadbir oleh entiti atau kerajaan namun entiti atau
kerajaan ini tidak mempunyai kuasa yang tertinggi. Kuasa tertinggi terletak di
tangan entiti atau kerajaan yang berada pada peringkat lebih tinggi.
Adalah
sangat penting negara didefinisikan dalam konteks geografi dan kerajaan. Namun,
asas kepada negara mestilah masyarakat. Negara memerlukan masyarakat untuk
mewujudkan kerajaan. Hanya kerajaan yang berkuasa dapat mengawal dan
mengekalkan kawasan atau wilayahnya. Walau bagaimanapun, terdapat masalah
apabila mendefinisikan negara dalam konteks masyarakat kerana masyarakat boleh
berpindah randah ataupun menukarkan pertalian mereka dengan kerajaan ataupun
wilayah. Seseorang yang berada di sesebuah negara boleh mengatakan
bahawa beliau tidak menganggotai masyarakat dalam negara tersebut iaitu memulaukan
dirinya daripada politik setempat. Oleh itu tidak mustahil kesemua anggota
masyarakat memulaukan diri mereka daripada kerajaan ataupun negara tersebuat.
Dalam hal ini, kerajaan akan termansuh dan kawasan atau wilayah itu juga akan termansuh secara semula jadi. Jadi, walaupun aspek kemasyarakatan itu merupakan asas
kepada pembentukkan negara ianya tidak boleh memberi kepada pengertian negara
seperti mana kawasan atau wilayah ataupun entiti atau kerajaan yang mentadbir.
Asal usul masyarakat
Masyarakat merupakan kumpulan manusia yang mengumpulankan
diri mereka kepada sebuah kumpulan atau masyarakat. Manusia biasanya selesa
untuk membuat kumpulan berdasarkan hubungan kekeluargaan, sifat semula jadi,
kawasan kediaman dan kepentingan bersama.
Bagi mengaitkan pembinaan sebuah negara, masyarakat mestilah terbina
atas sebab kawasan kediaman iaitu merujuk kepada kawasan atau wilayah yanag
akan ditadbir oleh kerajaan yang dibentuk masyarakat.
Mengapa negara
penting?
Sebab akhir pembentukan masyarakat adalah negara. Ini kerana
hanya dengan pembentukan negara, masyarakat dapat mempertahankan diri mereka
daripada musnah. Kemusnahan masyarakat mesti dijauhi kerana masyarakat pada
mulanya dibentuk untuk menjaga kepentingan anggotanya. Pada hari ini negara
merupakan masyarakat yang bergabung dengan masyarakat yang lain. Adalah tidak
mustahil sebuah negara terdiri daripada sebuah masyarakat namun ianya tidak akan
kekal kerana ancaman yang diterima daripada negara-negara lain. Secara teori
juga, negara boleh dianggotai secara persendirian tanpa kewujudan masyarakat.
Seseorang boleh memiliki kawasan dan wilayah dan mengistyhirkan kawasan dan
wilayah tersebut sebagai negara. Individu tersebut boleh mentadbir tanah
tersebut secara keseluruhannya lalu memenuhi syarat negara. Cuma ianya sangat
sukar untuk dipertahankan dan pasti tidak akan bertahan lama. Jika dia dapat
mempertahankan tanahnya daripada ditadbir oleh orang, tanah itu akan kembali
bebas dimiliki apabila ia telah mati. Hak tanah tersebut hanya boleh diwarisi
dan tidak kekal kepunyaan individu tersebut selama-lamanya termasuklah selepas
kematiaanya. Walaubagimanpun, ianya menjadi semakin mustahil dalam dunia hari
ini disebabkan kesemua kawasan dan wilayah telah mempunyai entiti atau kerajaan
yang mentadbir.
Antara faktor-faktor ini, manusia yang berhimpun atas sebab
kawasan kediaman mereka adalah lebih dekat dengan negara. Mungkin disebabkan itu, sistem dunia sekarang adalah berasaskan negara bangsa iaitu wilayah yang didiami dan dikuasai bangsa yang mendiaminya.
AMDOCS dan ASTRO
Adakah Amdocs itu sebuah syarikat Israel?
Ia ditubuhkan pada tahun 1982 di Israel (http://en.wikipedia.org/wiki/Amdocs).
Nama Amdocs diilhamkan daripada Aurec
Information and Directory Systems. Aurec Group pula merupakan syarikat induk
bagi Golden Pages iaitu sebuah syarikat direktori telefon Israel. Individu
penting dalam pengasasannya adalah Boaz Dotan yang menjawat jawatan presiden
dan CEO sehingga 1995 (http://www.forbes.com/profile/boaz-dotan/
dan http://www.amdocs.com/About/heritage/Pages/yellow-pages.aspx).
Pada tahun
1985, Southwestern Bell telah memperoleh 50% saham Amdocs menjadikannya pemilik
utama. Hari ini, ibu pejabat Amdocs terletak di Chesterfield, Missouri dan
Saint Peter Port, Guernsey. Dari segi pelaburannya, Amdocs diniagakan di
pasaran Nasdaq. Berita mengenai Amdocs juga sering kali disiarkan oleh syarikat
berita tertua Israel, Haaretz. Jadi, ada tiga Negara yang boleh dikaitkan
dengan Amdocs iaitu Israel, Amerika Syarikat dan Britain. Dalam satu laporan,
jelas menunjukkan Amdocs sebagai sebuah syarikat Israel (http://www.haaretz.com/print-edition/business/amdocs-lays-off-500-worldwide-1.256173).
Apakah kaitan Amdocs dan Astro?
Amdocs sememangnya mempunyai rekod besar dalam industri
telekomunikasi, media dan hiburan terutama dalam menyediakan perkhidmatan
perisian. Sejak penubuhannya. Amdocs telah mengembangkan sayapnya keseluruh
dunia termasuklah Malaysia. Ini dapat dibuktikan dengan dokumen umum
Suruhanjaya Securities and Exchange Amerika Syarikat (http://secfilings.nasdaq.com/edgar_conv_html%2f2013%2f12%2f09%2f0001193125-13-466872.html#FIS_COMPANY_INFORMATION)
yang menyebut ASTRO sebagai antara pelanggan globalnya. Selain itu dalam
laporan bertarikh 21 Julai 2004, Haaretz dengan jelas menyebut Amdocs telah
berjaya dalam bidaan kontrak dengan ASTRO (http://www.haaretz.com/news/amdocs-bags-malaysian-paytv-contract-with-astro-1.129083).
Ketika dihubungi tadi, ASTRO sememangnya mengaku penggunaan sistem Amdocs ini.
Dapatan lain?
Amdocs telah bertapak di Malaysia bukan hanya melalui ASTRO.
Hasil kajian mendapati sebuah syarikat yang didaftarkan di Malaysia iaitu CRM
Solution Sdn Bhd secara terang-terangan mempunyai kaitan dengan Amdocs (http://jobs.jobstreet.com.my/my/jobs/2326621?fr=21&src=44).
Kesimpulan
1. Amdocs merupakan syarikat Israel.
2. Laporan mengenai pemberian kontrak ASTRO kepada Amdocs
sememangnya sahih.
3. ASTRO mengetahui kewujudan Amdocs dan menjelaskan Amdocs
sememangnya digunakan dalam operasinya.
4. Keperluan untuk memboikot Amdocs sama seperti
syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Israel yang lain seperti McDonald.
Malah, Amdocs dilihat lebih dekat dengan Israel berbanding McDonald.
5. ASTRO sepatutnya lebih peka dan membuat penjelasan
segera.
6. ASTRO tidak perlu gusar kerana pemboikotan di Malaysia
hanyalah bersifat ‘trend’ semata-mata. Rakyat Malaysia bergantung hidup kepada
ASTRO. Selepas krisis Gaza reda, rakyat Malaysia kembali tenang.
Negara Sabah dan Sarawak?
Konflik semantik “negara” dan “negeri”
Penggunaan perkataan “negara” atau “negeri” sememangnya
bermasalah. Hal ini kerana kedua-dua perkataan ini boleh merujuk kepada status
politik yang sama atau tidak. Dalam bahasa Inggeris, “negara” dan “negeri”
disebut sebagai “state.” Walau bagaimanapun, “nation” dan “country” juga boleh
merujuk kepada “negara.” Berdasarkan dokumen-dokumen klasik,
kerajaan-kerajaan seperti Srivijaya, Majapahit, China dan Melaka disebut
sebagai “negeri.” Istilah “luar negeri” pula merujuk kepada negara asing atau “luar
negara.” Sebab itu kementerian yang menguruskan hal ehwal dalaman negara
dipanggil Kementerian Dalam Negeri dan bukannya Kementerian Dalam Negara.
Terdapat zaman di mana negara-negara dipanggil “negeri” dan bukannya “negara.”
Penggunaan “negara” menjadi bermasalah kepada bahasa Melayu dan negara
persekutuan sahaja. Hal ini kerana, “negeri” dan “negara” dilihat sebagai dua
perkataan yang berbeza dalam kebanyakkan kes. Bagi negara persekutuan pula,
perbezaan ini adalah signifikan kerana “negeri” merujuk kepada subset kepada “negara.”
Perbahasan mengenai istilah “negeri” dan “negara” bukanlah satu hujah yang
kukuh bagi menjelaskan status politik sesebuah wilayah. Status politik di sini
merujuk kepada merdeka atau tidak; apa yang disebut sebagai “sovereign.”
Mengambil negara Palestin sebagai contoh, ia merupakan
sebuah negara yang mempunyai kedaulatan terhad. Palestin telah mengisytiharkan
kemerdekaan pada tahun 1988 namun boleh dianggap sebagai negara jajahan Israel.
Dalam masa yang sama, Palestin bukanlah salah satu "negeri" Israel. Hal ini
menerangkan status “negeri” atau “negara” tidak menjejaskan status politik
wilayah tersebut. Adakah Palestin sebuah negara? Ya, sudah tentu Palestin
sebuah negara. Ia merupakan sebuah negara yang terjajah. Penjajahan tidak
menjadikan Palestin sebagai negeri. Negara bukanlah satu darjat atau tingkat kerajaan
atau politik yang lebih atas daripada negeri. Cuma dalam sistem persekutuan,
barulah negara merujuk kepada darjat atau tingkat kerajaan atau politik yang
lebih tinggi. Secara praktikal atau undang-undang, hanya sovereign states boleh
menjadi anggota PBB. Ini kerana, PBB hanya membenarkan sovereign states untuk
menjadi ahli. Kedaulatan sesebuah negara adalah berdasarkan pengiktirafan
negara-negara lain. Dalam hal ini, Palestin tidak diiktiraf sebagai negara
berdaulat jadi tidak dapat menjadi ahli PBB. Sebarang wilayah boleh
mengisytiharkan kemerdekaan atau kedaulatan, namun secara praktikal dalam
sistem negara bangsa Westphalia, kemerdekaan dan kedaulatan mestilah dapat
dipertahankan atau dipraktikkan. Sebagai contoh, kerajaan yang berdaulat
mestilah mampu untuk menjalankan kuasa dalam wilayahnya. Kuasa kerajaan
Palestin adalah terhad seperti mana yang ditetapkan Israel. Kerajaan umpamanya
tidak boleh mengutip cukai atau mempunyai pasukan keselamatan kerana
sekatan-sekatan kerajaan Israel. Dalam hal ini, kemerdekaan dan kedaulatan
Palestin yang diisytiharkan hanya pada nama. Pengiktirafan negara-negara luar
terhadap kewujudan Palestin pula merupakan satu praktik formality dan bukannya
memberi kesan terhadap kemerdekaan dan kedaulatan sepenuhnya. Hal ini kerana,
pengiktirafan ini tidak mengubah status Israel sebagai penjajah dan Palestin
sebagai negera terjajah. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan pengiktirafan
tersebut mampu memberi tekanan kepada Israel serta negara-negara yang menentang
kedaulatan Palestin supaya mencari jalan menyelesaikan isu terbabit. Mengikut
undang-undang antarabangsa, Palestin kekal menjadi wilayah jajahan atau occupied
territory.
Kembali kepada isu Sabah dan Sarawak, penggunaan istilah “negara”
sebelum menyertai Malaysia merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan.
Malah, istilah “negara” masih digunakan selepas itu dalam beberapa hal seperti
penggunaan “Yang di-Pertuan Negara” bagi merujuk kepada ketua negara Sabah.
Merujuk kepada Singapura pula, jawatan perdana menteri masih kekal digunakan
meskipun Singapura menyertai Malaysia. Hal ini menjurus kepada menggunakan
hujah kemerdekaan untuk mengelaskan status “negeri” dan “negara”. Sebagai
contoh, Sabah, Sarawak dan Singapura telah merdeka sebelum menyertai Malaysia.
Walau bagaimanapun, istilah yang lebih tepat adalah mencapai status berkerajaan
sendiri. Singapura telah terlebih dulu berkerajaan sendiri pada 3 Jun 1959.
Sarawak pula pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pada 31 Ogos 1963. Berkerajaan
sendiri dalam ketiga-tiga kes ini tidak membawa erti kemerdekaan penuh. Ianya
merupakan satu proses peralihan kuasa daripada kuasa kolonial sebelum
kemerdekaan. Biasanya dalam tempoh ini, kerajaan tempatan diberi kuasa untuk
mentadbir hal-hal dalaman manakala kuasa kolonial kekal berkuasa dalam isu-isu
keselamatan dan hubungan luar. Status “berkerajaan sendiri” bermaksud kerajaan
yang mentadbir adalah dilantik atau dipilih oleh rakyatnya sendiri. Dalam
ketiga-tiga kes, telah wujud proses pilihan raya bagi memilih kerajaan.
Di Sabah, pilihan raya tempatan pertama diadakan dalam
bulan April 1963. Donald Stephens telah dilantik menjadi ketua menteri secara
rasmi pada 31 Ogos apabila Sabah diberikan status berkerajaan sendiri oleh
British. Hujah ini adalah berdasarkan Perjanjian Malaysia yang menyebut
kerajaan British akan melepaskan segala hak ke atas negeri-negeri Borneo dan
Singapura pada 31 Ogos . Di Singapura pula, Perdana Menteri Lee Kuan Yew
bertindak mengiytiharkan kemerdekaan setelah tibanya tarikh ini. Oleh kerana
Singapura sudah mencapai status berkerajaan sendiri pada 1959, pengisytiharan
Lee Kuan Yew pada 31 Ogos membawa maksud penubuhan sebuah negara yang merdeka
penuh. Pada tahun 1959, jawatan Gabenor Singapura telah digantikan dengan Yang
di-Pertuan Negara iaitu jawatan sebagai ketua negara. Dalam tempoh ini
1959-1963, Yang di-Pertuan Negara dilihat sebagai mewakili raja British
manakala tempoh 1963-1965 sebagai mewakili Yang di-Pertuan Agong. Selepas
Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, ia digantikan dengan
jawatan presiden. Pada tahun 1959, jawatan perdana menteri diwujudkan bagi
menggantikan jawatan ketua menteri. Walaupun perubahan jawatan ini tidak
memberi kesan yang besar kepada tugas, namun ianya memberi petunjuk simbolik
yang jelas mengenai status Singapura pada ketika itu.
Di Sarawak, Stephen Kalong Ningkan dilantik menjadi ketua
menteri pertama pada 22 Julai. Lantikan ini dibuat oleh Sir Alexander Waddell
iaitu Gabenor Sarawak yang ke-4 dan terakhir. Jawatan Gabenor Sarawak telah
digantikan oleh Yang di-Pertuan Negeri Sarawak pada 16 September iaitu tarikh
pembentukan Malaysia. Disebabkan jawatan Yang di-Pertuan Negeri Sarawak hanya
berkuat kuasa pada hari pembentukan Malaysia, Pengisytiharan Malaysia pada 16
September masih menggunakan Gabenor Sarawak. Hal ini berbeza dengan Sabah dan
Singapura kerana jawatan Gabenor telah digantikan lebih awal. Teks
Pengistytiharan Malaysia juga secara jelas dan spesifik menyebut negeri Sabah,
Sarawak dan Singapura tidak lagi menjadi koloni bagi Ratu British dan Ratu
British akan melepaskan segala haknya ke atas ketiga-tiga negeri ini. Oleh itu,
dapat disimpulkan sebelum tarikh 16 September, tindakan ketiga-tiga negeri
iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura mengisytiharkan berkerajaan sendiri atau
mencapai kemerdekaan adalah bercanggah dengan Perjanjian Malaysia. Oleh sebab
itu, pengisytiharan kemerdekaan secara bersendirian (tidak bersama dengan
negara-negara lain yang akan menyertai Malaysia) ini dilihat sebagai tindakan
bersendiri (unilateral) tanpa merujuk dahulu kepada kerajaan atau pihak yang
menjajah (British); hal yang sama apabila Palestin mengisytiharkan kemerdekaan.
Secara ringkasnya, sebelum 1963, Sabah, Sarawak dan
Singapura merupakan negara-negara yang dijajah. Ketika menyertai Malaysia, ia
tidak menjejaskan status wilayah ini sebagai negara. Status politik pula berubah
dari terjajah kepada merdeka dan berdaulat. Walau bagaimanapun, mengikut
perspektif persekutuan, ketiga-tiga negara ini merupakan “negeri” di dalam
negara Malaysia. Boleh juga ia menjadi “negara” di dalam negara Malaysia.
Namun, penggunaan “negeri” bagi merujuk kepada subset wilayah “negara” dilihat
lebih mudah dan sesuai. Hal yang serupa ketika negeri-negeri Melayu iaitu
Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menyertai persekutuan Negeri-negeri
Melayu Bersekutu di mana penyertaan ke dalam persekutuan tidak mengubah status
wilayah sebagai negeri. Istilah “negeri” sudah digunakan untuk sekian lama oleh
negeri-negeri Melayu iaitu ketika mereka merdeka mahupun ketika dinaungi atau
dijajah. “Negeri” di sini merujuk kepada maksud yang sama dengan “negara.” Oleh
itu, ketika Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menyertai persekutuan yang lebih
besar seperti Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu, ianya tidak mengubah
status wilayah negeri-negeri ini sama sekali seperti mana halnya kepada Sabah,
Sarawak dan Singapura. Bagi persekutuan Malayan Union, ia menggabungkan
negeri-negeri di Tanah Melayu dan bukannya menggabungkan "negara" Negeri-negeri
Melayu Bersekutu, "negara" Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan "negara" Negeri-negeri Selat. Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak
Bersekutu dan Negeri-negeri Selat merupakan satu kesatuan dan bukannya sebuah
negara. Oleh sebab itu Artikel I Perjanjian Malaysia 1963 menyebut “The
Colonies of North Borneo and Sarawak and the State of Singapore shall be
federated with existing States of the Federation of Malaya…” Ini bermaksud,
Sabah, Sarawak dan Singapura tidak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu
tetapi bergabung dengan negeri-negeri (States) Persekutuan Tanah Melayu. Dalam
hal ini, kesemua ahli kesatuan iaitu dari Perlis sehinggalah ke Sabah merupakan
“negara” atau “negeri” (negeri-negeri Melayu tidak menggunakan istilah negara)
mempunyai status yang sama menerusi perjanjian ini iaitu sebagai “states.”
Dalam pemahaman umum, “state” merujuk kepada negara seperti mana State of
Israel.
Sebagai kesimpulan, hujah sematik “negara” atau “negeri”
telah menimbulkan kekeliruan dalam menentukan status wilayah atau politik bagi
negeri-negeri di Malaysia. Pemahaman mengenai penggunaan istilah ini mestilah
merujuk kepada penggunaan dari zaman lampau sehingga sekarang. Sebagai contoh,
orang Melayu pada zaman lampau menggunakan “negeri” bagi merujuk wilayah atau
kerajaan yang merdeka. Dalam bahasa Inggeris, “state” boleh merujuk kepada
negara ataupun negeri. Bagi negara persekutuan, istilah “state” akan dikaitkan
dengan “negeri” manakala bagi negara bukan persekutuan, “state” bermaksud “negara.”
Di Malaysia pada hari ini, istilah “negeri” dan “negara” mempunyai maksud yang
jelas berbeza iaitu “negeri” merupakan wilayah subset bagi negara. Kerajaan
negeri bermaksud kerajaan yang lebih bawah yang diberi kuasa oleh kerajaan
pusat bagi mentadbir kewasan lokal yang disebut negeri. Dalam hal ini, semua
negeri-negeri di Malaysia mempunyai status wilayah yang sama iaitu “negeri.”
Pada masa yang sama, negeri-negeri ini merupakan “negara” atau “negeri” yang
bersekutu membentuk sebuah persekutuan. Boleh juga untuk kita katakan negeri-negeri yang ada di dalam Malaysia merupakan negara-negara yang merdeka. Sekian.
Tuesday, 9 February 2016
Subscribe to:
Posts (Atom)