Sunday 14 February 2016

Menjadi Negara Merdeka

Bagaimana menjadi sebuah negara merdeka?

Cara paling mudah adalah dengan mengisytiharkan kemerdekaan. Pengisytiharan bermaksud membuat pengumuman tentang sesuatu keadaan. Pengiytiharan boleh dibuat secara sembunyi atau sulit ataupun secara terbuka. Ia juga boleh dibuat secara berseorangan ataupun dilakukan dihadapan individu lain. Dalam hal ini, pengisytiharan kemerdekaan sesebuah negara merujuk kepada pengumuman secara terbuka yang dilakukan di hadapan individu lain. Ini memenuhi kehendak sesebuah negara itu untuk merdeka iaitu bebas daripada pengaruh orang lain. Jika ianya dilakukan secara sembunyi atau bersendirian, ia mungkin takut terhadap respon pihak lain. Dalam hal ini, ia tidak bebas dan tidak merdeka. Walau bagaimanapun, pengisytiharan secara sembunyi atau bersendirian ini mempunyai kelebihan yang membolehkan tindakan pengisytiharan itu memperlihatkan usaha untuk bebas dan merdeka. Sebagai contoh, jika sesebuah negara yang ingin merdeka mempunyai musuh yang sangat sukar untuk ditewaskan, pengisytiharan secara sembunyi dan bersendirian ini boleh menguatkan lagi semboyan untuk merdeka. Dalam hal ini, perjuangan untuk merdeka sepenuhnya bermula dengan kemederkaan yang diisytiharkan lebih awal tersebut. Setakat ini, belum ada sebarang pengisytiharan kemerdekaan secara sulit boleh dilihat. Hal ini mungkin kerana sifat pengisytiharan itu yang ingin memaklumkan tentang kemerdekaan negara tersebut lalu tidak memungkinkan ianya dilakukan secara sulit. Sebagai contoh, Indonesia disiytiharkan merdeka pada tahun 1945 meskipun masih berada dalam penjajahan Belanda. Namun, pengisytiharan ini telah menyemarakan api penentangan terhadap Belanda sehinggalah memaksa Belanda menyerah kalah pada tahun 1949. Dalam hal ini Indonesia dikatakan mencapai kemerdekaan apabila pengisytiahran dibuat pada tahun 1945. Dalam sudut lain, Indonesia boeh juga dilihat merdeka pada tahun 1949 iaitu ketika Belanda menyerah kalah secara rasmi. Perkembangan terbaru pula menyebut Belanda sebagai menerima kemerdekaan Indonesia 1945 dalam usaha merapatkan hubungan di antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, kemerdekaan Indonesia 1945 dilihat sebagai kemerdekaan secara de facto. Kemerdekaan secara rasmi iaitu secara hitam putih dan secara bersama (negara penjajah dan negara dijajah) pada 1949 juga masih relevan mengikut perspektif perundangan. 

Berbeza dengan Malaysia yang mencapai kemerdekaan melalui kata sepakat dengan penjajah, pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah diterima tanpa sebarang perdebatan. Dalam kes Sarawak pula, beberapa fakta dan hujah perlu diambil kira. Pertama, Sarawak merupakan sebuah negara merdeka semasa pemerintahan Dinasti Brooke sehinggalah Jepun menjajah pada tahun 1945. Selepas Jepun menyerah kalah, Sarawak dianggap memperoleh semula kemerdekaannya. Status ini adalah wajar tanpa sebarang deklarasi kemerdekaan. Sebagai pemilik sah kerajaan, Rajah Charles Vyner Brooke kemudiaanya menyerahkan Sarawak kepada British melalui pembentukan Koloni Mahkota Sarawak. Sebaik sahaja penyerahan ini dibuat, Sarawak bukan lagi negera merdeka. Pada 9 Julai 1963 pula, wakil kerajaan tempatan Sarawak telah mengikat perjanjian bagi membentuk Malaysia. British sebagai kuasa penjajah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan Sarawak melalui Malaysia pada 31 Ogos 1963. Sehubungan dengan itu, sebuah kerajaan Sarawak dibentuk pada 22 Julai. Walau bagaimanapun, tarikh kemerdekaan dalam perjanjian ini terpaksa ditunda kepada 16 September. Sabah dan Singapura walau bagaimanapun mengisytiharkan diri sebagai bebas daripada kuasa colonial pada 31 Ogos seperti mana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia yang asal. Akhirnya pada 16 September, ketiga-tiga kerajaan mengisytiharkan kemerdekaan melalui Malaysia. Apa yang berlaku pada 22 Julai di Sarawak adalah satu proses penyediaan sebelum kemerdekaan. Dalam hal ini, Sarawak telah mencapai status berkerajaan sendiri seperti mana yang dicapai oleh Malaya pada tahun 1955. Dalam kes Singapura pula, ia dilihat mencapai status berkerajaan sendiri juga pada tahun 1955 walaupun British secara rasmi memberikan status itu pada tahun 1959. Tindakan Singapura yang dilihat sebagai mengisytiharkan kemerdekaan adalah pada 31 Ogos 1963 meskipun tiada pengisytiharan kemerdekaan dilakukan secara spesifik. Pengisytiharan secara rasmi hanya dibuat pada 16 September.   

No comments:

Post a Comment