Ekonomi Politik: Apa yang perlu kita tahu?
Aspek ekonomi dalam politik merupakan perkara yang sangat
penting. Ini kerana, ekonomi menentukan kestabilan politik. Perkembangan dunia
hari ini memerlukan kita untuk terjebak dalam arus globalisasi atau suatu dunia
tanpa sempadan. Ia membawa maksud ekonomi kita adalah saling berkait dengan
ekonomi di luar sempadan. Bagi seorang pengeluar, globalisasi menyediakan
pasaran yang lebih luas. Ini bererti lebih keuntungan. Bagi seorang pengguna
atau pembeli, kita dapat membeli produk dari luar yang pelbagai pada harga yang
kompetitif. Begitulah bagaimana pada akhirnya ekonomi memainkan peranan yang
cukup besar dalam kehidupan seseorang. Negara juga bertindak sebagai sebuah
pengguna atau pengeluar. Oleh itu, aspek ekonomi dalam politik sentiasa menjadi
pengaruh yang penting.
Oleh itu, kerajaan perlu menguruskan ekonomi negara dengan
baik supaya tidak bankrap. Secara umumnya, bankrap bagi negara adalah sama bagi
individu. Bankrap bererti tidak mampu membayar hutang, tidak boleh dipercayai
dan tidak mampu untuk menyara diri. Status sebegini sudah pastinya akan
menjejaskan kehidupan seseorang dan juga negara.
Bagi membincangkan soal ekonomi, kita perlu melihat kepada
dua perkara iaitu pendapatan dan belanjawan. Jika pendapatan kita lebih banyak
daripada apa yang dibelanjakan, kita telah berjimat cermat dan membuat
simpanan. Jika kita belanja kesemua pendapatan kita, kita tidak menyimpan
apa-apa. Jika kita membelanjakan lebih daripada pendapatan, ini bererti kita
telah berhutang. Sebuah ekonomi yang baik biasanya bermatlamat untuk membuat
simpanan. Simpanan bermaksud kita telah belanja mengikut kemampuan dan ianya
boleh digunakan apabila terdapat kesulitan kelak. Oleh itu, sebuah kerajaan
yang baik biasanya dapat menguruskan belanjawan negara dengan baik dan membuat
simpanan untuk digunakan semasa kecemasan ataupun membuat pelaburan.
Namun begitu, usaha untuk membuat simpanan bukanlah sesuatu
yang mudah. Ini kerana kerajaan mesti berbelanja dalam pengurusan dan
pembangunan negara. Belanja pengurusan dan pembangunan meningkat setiap tahun.
Dalam kes-kes yang lain pula, sifat kerajaan yang memboros atau tidak berkesan
dalam menguruskan ekonomi juga mendatangkan kesan yang negatif. Selain itu,
unsur-unsur jenayah seperti rasuah turut menyebabkan pembelanjaan meningkat
tanpa dapat ditampung oleh pendapatan. Untuk itu, pendapatan yang dikutip juga
mestilah meningkat bagi membuat pembayaran. Dalam kes-kes tertentu, pendapatan
boleh menyusut disebabkan faktor luar jangka seperti kemelesetan ekonomi.
Secara mudah, negara dapat membuat simpanan jika hasil
pendapatan dapat ditingkatkan, mengamalkan perbelanjaan yang berkesan dan
menangangi unsur-unsur jenayah selain berdoa agar ekonomi dunia sentiasa sihat.
No comments:
Post a Comment