Matlamat DAP untuk menubuhkan satu masyarakat yang
demokratik sosialis di Malaysia. Apakah itu demokratik dan sosialis?
DAP pejuangkan "Malaysian Malaysia" iaitu negara
Malaysia untuk semua. Tiada keistimewaan untuk sesiapa. Bererti orang Melayu
perlu dilayan sepertimana kaum-kaum lain seadilnya. Kalau Melayu dilayan
seperti kaum lain, adakah keadilan tercapai kerana Melayu masyarakat pribumi
Malaysia. Kaum lain pula datang dan terus tinggal tanpa mendapat restu tuan
tanah. Mereka dipelawa datang dan diberi kerakyatan kerana British. Dalam masa
British menjajah Tanah Melayu, siapakah tuan tanah itu? Melayu atau British.
Yang pasti Melayu adalah pribumi, status tuan tanah pula mungkin boleh
dipertikaikan lagi. Ambil contoh kes di Palestine yang mana ramai penduduk
asalnya telah melarikan diri sejak kemerdekaan Israel pada tahun 1948. Mereka
lari kerana terpaksa demi menyelamatkan diri tanpa menyerahkan hak mereka iaitu
tanah kepunyaan mereka kepada sesiapa. Israel pula telah menduduki tanah-tanah
itu dan menukar hak kepunyaan kepada mereka. Siapakah tuan tanah kepada
tanah-tanah itu? Ada yang berpendapat "hak" tidak boleh
sewenang-wenangnya diserah terima lebih-lebih lagi secara paksaan atau tanpa
persetujuan tuan asal. Dalam hal ini, pelarian Palestine ini punya hak untuk
kembali mengambil hak mereka. Ia lebih popular dipanggil "Palestinian
right of return".
Namun, sejauh mana atau selama mana hak ini kekal? Ada
beberapa teori yang dikeluarkan sarjana tentang asal usul Melayu di Malaysia.
Antara yang terkenal adalah teori Yunnan yang menyatakan bangsa Melayu berasal
dari Yunnan. Adakah ini bererti Melayu bukanlah penduduk asal Tanah Melayu?
Jika terdapat penduduk di Tanah Melayu sebelum kedatangan mereka, sudah tentu bukan
penduduk asal. Jika Tanah Melayu tidak dihuni mana-mana masyarakat, maka
pastinya mereka penduduk asal. Semantiknya, kita mempersoalkan penduduk asal
bukannya tuan tanah tersebut. Kerana penduduk asal tidak semestinya tuan tanah.
Adakah ini soal siapa cepat dia dapat atau siapa chup dulu dia dapat? Teori
kedua pula menyatakan masyarakat Melayu berasal dan berkembang di Nusantara
termasuklah Tanah Melayu. Dalam hal ini, Melayu mempunyai status penduduk asal
dan tuan tanah.
Memanjangkan soal penduduk asal dan pemilik tanah ini, perlu
kita lihat perkembangan luar lain. Contohnya orang eropah telah mendarat di
Amerika Utara dan bertapak di sana. Ketika itu, benua ini dihuni oleh puak Red
Indian. Akhirnya, benua ini kini menjadi hak orang-orang pendatang ini. Sama
juga yang berlaku di Australia, walaupun orang aslinya yang dipanggil
Aborigines diiktiraf sebagai penduduk asal, namun hak tanah itu telah bertukar
ke tangan kaum pendatang. Di Eropah pula, berlaku banyak kali pertukaran hak
milik wilayah akibat perang. Penukaran hak milik wilayah ini berlaku sepanjang
zaman pekembangan tamadun manusia dimana kumpulan yang kuat akan mendominasi
kumpulan yang lemah serta dapat menguasai kawasan yang luas.
Berbanding dengan konsep "hak" yang dibincangkan
tadi, konsep kekuasaan lebih mudah untuk difahami dan dilihat diterima secara
sejagat. Malah ianya lebih praktikal
kerana dapat ditentukan secara fizikal contohnya melalui kekuatan ketenteraan,
sesebuah kumpulan dapat meraih lebih harta daripada kumpulan yang lemah. Ini
menyebabkan semua orang berkejar-kejar menjadi lebih kuat.
Dalam hal ini, terlalu sukar untuk menentukan tuan tanah
yang paling asal kerana kekangan sejarah dan waktu. Namun ini bukanlah sesuatu
yang mustahil dengan mengambil kira sejarah yang sedia ada. Umpamanya, tanah
Palestine ini pada asalnya ditadbir bangsa Kanaan.
No comments:
Post a Comment