Friday 11 March 2016

Kacukan Kuda dan Keldai Bahagian 2

Setelah menulis artikel "Kacukan Kuda dan Keldai," timbul beberapa soalan yang sepatutnya dijelaskan. Kenapa hinny dan baghal mandul? Dijelaskan dalam artikel tersebut mereka mandul disebabkan memiliki 63 kromosom iaitu jumlah yang ganjil. Biasanya, binatang yang memiliki jumlah kromosom yang ganjil adalah mandul. Manusia normal mempunyai 46 kromosom dan jika memiliki 47 iaitu bilangan ganjil, manusia tersebut akan mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Down. Berdasarkan soalan dan penyataan awal ini, timbul beberapa soalan baharu lain. Mengapa hinny dan baghal mempunyai 63 kromosom? Mengapa mempunyai bilangan kromosom ganjil menyebabkan kemandulan? Adakah hinny dan baghal merupakan sindrom Down versi kuda dan keldai?

Kromosom dan DNA
Sebelum menjawap soalan-soalan tersebut, kita mesti terlebih dahulu memahami apakah itu kromosom. Secara ringkas, kromosom merupakan struktur bagi asid deoksiribonukleik (DNA). Apa yang dimaksudkan dengan "struktur" adalah DNA disusun atau dibentuk dalam bentuk yang lebih stabil. Sebagai perumpamaan, DNA merupakan suatu benang yang panjang manakala kromosom pula boleh digambarkan sebagai sebuku benang (benang yang dililitkan pada objek lain). Biasanya, kita membeli benang yang telah dililitkan pada objek silider bagi memudahkan penggunaan dan mengelakkan benang terburai atau kusut. Begitu juga halnya bagi DNA yang distabilkan oleh protein-protein lain membentuk struktur yang kita panggil kromosom. DNA pula merupakan molekul atau objek yang mengandungi kod-kod informasi (genetik) bagi membolehkan sel-sel membuat molekul-molekul atau objek-objek lain yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu. Sebagai contoh, air liur berfungsi dalam proses pencernaan. Bagi membuat air liur, sel-sel perlu mengetahui cara membuatnya. Cara membuat atau resipi ini diperoleh daripada DNA.

Mitosis dan Meiosis
Selain daripada membuat molekul-molekul atau objek-objek berfungsi ini, DNA juga memiliki kod-kod yang membolehkan sel-sel tersebut membanyak atau bercambah. Tanpa proses ini, tisu-tisu tidak akan bertambah dan sel-sel yang mati tidak akan dapat digantikan. Dalam perspektif yang lebih besar, manusia yang mati tidak akan digantikan jika tidak mempunyai kebolehan untuk membuat zuriat. Proses menambahkan sel atau zuriat ini tidak dapat dilakukan tanpa dua proses penting iaitu mitosis dan meiosis. Mitosis merupakan proses untuk menambahkan sel manakala meiosis merupakan proses untuk menghasilkan gamet atau benih. Dalam proses mitosis, sel yang hendak dihasilkan mestilah sama dengan sel yang terdahulu kerana fungsi sel baharu adalah untuk menggantikan sel yang lama.atau menambahkan bilangan sel tersebut. Oleh itu, jumlah kromosom yang dimiliki sel akan digandakan sebelum dibahagi dua dan akhirnya sel tersebut berpecah menjadi dua.

Dalam kes meiosis pula, ia berfungsi untuk menghasilkan kacukan antara dua benih. 50% DNA mestilah datang dari benih jantan dan 50% DNA mestilah datang dari benih betina. Oleh sebab itu, 46 kromosom yang manusia miliki akan dibahagikan kepada dua menjadi 23. Benih yang dihasilkan ini masih mempunyai 100% maklumat genetik induknya kerana 46 kromosom sebenarnya merupakan 23 set kromosom yang mana setiap set mempunyai pendua. Ini bermaksud, sperma mempunyai 23 kromosom (separuh daripada jumlah kromosom bagi sel bukan sperma) namun masih mempunyai 100% genetik lelaki terbabit. Apabila benih jantan disenyawakan dengan benih betina, proses  ini menggabungkan kromosom-kromosom yang dimiliki keduanya. Jadi, benih yang tersenyawa mempunyai 23 kromosom dari induk jantan dan 23 kromosom dari induk betina. Secara keseluhannya, benih ini mempunyai 46 kromosom iaitu 23 set kromosom dimana setiap set adalah tidak sama (1 dari jantan dan 1 dari betina). Oleh sebab itu, zuriat yang dihasilkan adalah 50% DNA lelaki dan 50% DNA perempuan.

Kuda dan Keldai
Kuda mempunyai 64 kromosom manakala keldai mempunyai 62 kromosom. Jika kuda dan keldai memiliki jumlah kromosom yang berlainan, ini bermakna berlakunya masalah atau mutasi dalam proses mitosis atau meiosis yang tidak dapat menghasilkan jumlah kromosom yang tepat dipanggil ketidaknormalan kromosom. Kuda atau keldai terbabit biasanya akan mandul disebakan proses meiosis tidak boleh berlaku jika jumlah kromosom adalah ganjil. Dalam meiosis, terdapat satu tahap di mana kromosom-kromosom perlu diasingkan secara seimbang. Kewujudan kromosom tunggal menyebabkan ketidakseimbangan dan proses seterusnya tidak akan berlaku.

Kuda mempunyai 64 kromosom. Jadi, benihnya mempunyai 32 kromosom. Keldai pula mempunyai 62 kromosom dan benihnya mempunyai 31 kromosom. Dalam proses persenyawaan antara benih kuda dan keldai, kedua-dua kromosom ini akan digabungkan menjadi 63. Oleh sebab itu, benih yang tersenyawa atau zuriat kuda dan keldai adalah mandul disebabkan jumlah kromosom yang ganjil ini. Mudahnya, hinny dan baghal merupakan anak kuda dan keldai yang mempunyai keadaan yang dipanggil "sindrom Down." Menariknya, keadaan sindrom ini tidak menghasilkan anak kuda atau keldai yang bermasalah tetapi menghasilkan satu species yang baharu. Species yang baharu itu tetap mempunyai 63 kromosom yang bererti ia mandul. Ia tidak mempunyai masalah dalam proses pembesaran kerana proses mitosis akan menggandakan jumlah kromosom menjadi 126 sebelum membahagikannya kepada 2. Setiap sel baharu masih mempunyai 63 kromosom. Walau bagaimanapun keadaaan akan menjadi bermasalah ketika proses meiosis. Proses meiosis tidak dapat dilakukan disebabkan ketidakseimbangan jumlah kromosom itu tadi. Oleh sebab itu, sperma dan ovum tidak dapat dihasilkan. Kegagalan menghasilkan benih menjadikan hinny dan baghal mandul.

Segala molekul-molekul dan proses-proses yang diterangkan tadi sebenarnya tidak serumit jika dibandingkan dengan soalan sama ada hinny dan baghal itu adalah satu spesis atau tidak. Nama saintifik bagi hinny dan baghal adalah Equus asinus x Equus caballus. Merujuk kepada nama tersebut sudah menampakkan kejanggalannya. Definsi umum spesis pula mestilah boleh mengawan dan beranak. Setakat pembacaan penulis, misteri hinny dan baghal ini masih belum dinoktahkan lagi para saintis. Malah, kejadian hinny dan baghal yang subur turut memeningkan kepala mereka. Siasatan ini pastinya akan diteruskan sampai manusia menemui jawapan ataupun mencipta penjelasan yang memuaskan hati kita.




  

No comments:

Post a Comment