Kali ini kita menulis dalam Bahasa Melayu dan membincangkan topik selain COC. Walau bagaimanapun, Rajah 1 di bawah masih menggunakan Bahasa Inggeris kerana beberapa sebab. Pertama, Bahasa Melayu tidak mempunyai nama atau istilah khusus untuk kuda betina, keldai jantan, keldai betina, hinny jantan, hinny betina, baghal (mule) jantan dan baghal betina. Apakah itu hinny? Perkataan hinny bukan istilah Bahasa Melayu dan tidak juga dimasukkan dalam tesaurus Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Hinny sebenarnya merupakan anak hasil kacukan kuda dan keldai. Lebih spesifik, ia merupakan kacukan kuda jantan dan keldai betina. Seperti mana yang disebutkan tadi, binatang-binatang ini mempunyai nama spesifik bergantung kepada jantina. Dalam banyak-banyak nama, hanya istilah stalion yang dimasukkan dalam daftar Bahasa Melayu. Sebab kedua pula adalah artikel ini akan membincangkan tentang penamaan kuda dan keldai serta anak yang dihasilkan iaitu hanya dalam dijelaskan dengan menggunakan istilah Bahasa Inggeris.
Mengapa binatang-binatang ini mempunyai nama spesifik bagi menunjukkan jantina? Tiada sebab yang benar-benar kukuh namun bagi masyarakat luar terutama penternak dan peladang, istilah ini adalah penting dan memudahkan kegiatan pertanian mereka. Contohnya, petani akan menyebut bull bagi merujuk kepada lembu jantan yang digunakan sebagai baka. Hal ini difahami oleh kumpulan petani terbabit. Bagi masyarakat Malaysia, istilah bagi menunjukkan jantina binatang ternakan ini juga penting. Bezanya, kita menggunakan jantan, betina, baka, anak dan sebagainya, iaitu perkataan-perkataan umum yang digunakan untuk pelbagai binatang lain. Mengambil contoh lembu, penternak di negara Barat seperti Amerika Syarikat menggunakan istilah cattle (lebih seekor lembu), bull (lembu jantan yang tidak dikasi), steer (lebih jantan yang sudah dikasi), heifer (lembu betina yang belum pernah melahirkan anak), calf (anak lembu) dan cow (lembu betina yang pernah melahirkan anak). Hal ini akan menjadi lebih rumit apabila umur lembu itu diperincikan dan diberikan istilah berlainan. Sebagai contoh, ketika usia muda, bull dipanggil bull calf dan heifer dipanggil heifer calf. Apabila meningkat dewasa dan digunakan untuk kerja-kerja berat, lembu jantan biasanya dipanggil ox. Jadi, dapat dilihat begitu rumit penamaan binatang-binatang ini dalam Bahasa Inggeris.
Berbalik kepada Rajah 1, Bahasa Inggeris mempunyai dua istilah yang berlainan bagi merujuk kepada anak kacukan kuda dan keldai. Baghal atau mule merupakan kacukan keldai jantan (jack) dan kuda betina (mare). Keldai itu sendiri dipanggil donkey atau ass. Apabila keldai betina (jenny) dikacukkan dengan kuda jantan (stallion), hinny akan terhasil. Kedua-dua hinny dan baghal merupakan binatang yang berlainan. Mudahnya, baghal lebih mirip keldai manakala hinny lebih mirip kuda. Mirip dari segi rupa, kekuatan dan fungsi. Kedua-dua kacukan ini adalah lebih bijak berbanding ibu bapa mereka, mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, dan lebih kuat. Kedua-duanya juga adalah mandul. Kebarangkalian hinny dan baghal menghasilkan anak adalah sangat sedikit. Hal ini disebabkan hinny dan baghal mempunyai jumlah kromosom bernombor ganjil iaitu 63. Kuda mempunyai 64 kromosom manakala keldai mempunyai 62 kromosom. Oleh sebab itu, hinny dan baghal mempunyai hanya 63 kromosom. Walau bagaimanapun, kes persenyawaan ini ada diberitakan dan masih dalam kajian kelompok saintis. Untuk pengetahuan anda, anak kuda, keldai, hinny ataupun baghal disebut sebagai foal. Baghal jantan disebut horse mule dan baghal betina disebut mare mule. Ketika di usia muda, baghal jantan juga dipanggil mule colt manakala baghal betina dipanggil mule filly.
Rajah 1. Anak hasil kacukan kuda dan keldai
Artikel menarik.
ReplyDeleteApabila terdapat baghal jantan dan betina, ia mengesahkan ayat Allah itu benar bahawa Ia menjadikan tiap sesuatu itu berpasangan.
Wallahu aklam.